HAKKA yang merupakan jenama pakaian sukan dari Malaysia telah memperkembangkan hubungannya dengan Pahang apabila mengikat perjanjian sebagai pembekal pakaian sukan rasmi pasukan Hoki Veteran Sultan Ahmad Shah yang menyertai acara Veterans Masters World Cup yang kini tengah berlangsung dari 19 hingga 29 Oktober 2022 di Tokyo, Jepun.

Hakka sebelum ini telah mengikat perjanjian pada Disember 2021 sebagai pembekal barangan sukan rasmi bagi pasukan Sri Pahang FC sehingga tahun 2023.

Presiden persatuannya, Tengku Fahad Mua’adzam Shah berbesar hati hubungan Pahang bersama Hakka semakin berkembang apabila kini jenama sukan yang cukup dikenali tersebut menaja Persatuan Hoki Veteran Sultan Ahmad Shah.

“Hakka secara berterusan melangkaui jangkaan dalam penajaan sukannya di negeri Pahang.

“Ianya adalah langkah yang positif buat kedua-dua pihak, dan saya berharap kerjasama ini terus cemerlang ke hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hakka, Noor Sollihin Mohamed berkata, semangat industri sukan negeri Pahang berada pada tahap yang tertinggi sejak hubungan ini dijalinkan.

“Ia merupakan saat yang penting dalam usaha berpanjangan bagi memastikan industri sukan di negeri Pahang terus berkembang,” ujarnya.