JAWATAN Naib Presiden 1 dihidangkan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) kepada Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan.

Perkara ini dikongsi Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan Sumali, di Kuala Lumpur.

Menurut Abdul Halim, tawaran jawatan Naib Presiden 1 itu tidak bertujuan mengambil hati Malaysia sebaliknya atas persetujuan Ahli Exco ISTAF, sebelum menawarkan jawatan ini kepada Sumali.

Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader sudah merujuk kepada ahli Exco ISTAF sebelum menawarkan jawatan Naib Presiden 1 kepada Presiden PSM.

Sebelum ini, Sumali menyelar mutu pengadilan badan induk dunia itu ketika perlawanan akhir acara regu di Sukan Asia Hangzhou 2022, yang menyaksikan Malaysia tewas kepada Thailand untuk berpuas hati membawa pulang pingat gangsa.

“Ini bukan soal untuk memujuk, tetapi adalah untuk menggunakan kepakaran yang ada di Malaysia, sudah tentu kita tujukan kepada Presiden PSM.

Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan mempertikai mutu pengadilan di Sukan Asia Hangzhou, lalu.

“Saya percaya, dalam kita mahu membawa sukan ini ke peringkat lebih tinggi dan mengharmonikan kepimpinan di peringkat dunia, kita tidak boleh lupakan Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand serta Brunei.

“Apatah lagi ISTAF sendiri sudah mengiktiraf PSM sebagai ahli gabungan kami sejak Julai lalu, namun kami masih belum berkesempatan untuk menganugerahkan sijil pengiktirafan tersebut kepada PSM,” jelas Halim dalam sidang media, hari ini.

Sebelum ini, posisi Naib Presiden 1 disandang Presiden Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (MASTAF), Datuk Suhaili Abdul Rahman namun badan induk itu dibubarkan hanya selepas 10 bulan ditubuhkan.