SETIAUSAHA Kehormat Persatuan Bolasepak India Kuala Lumpur (KLIFA), Vinodkana memuji persembahan terkini pasukan Malaysia di bawah kepimpinan Presiden Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.
Jelasnya, Hamidin berjaya membawa perubahan drastik kepada landskap bola sepak negara bersama jurulatih berpengalaman, Kim Pan-gon yang dilihat bakal membawa masa depan yang cerah kepada skuad bola sepak kebangsaan.
“Pasukan Malaysia kini di bawah Datuk Hamidin telah membuat yang terbaik dan di bawah bimbingan jurulatih berpengalaman (Kim Pan-gon) dan staf kejurulatihan lain.
“Saya lihat dahulu dan sekarang ada banyak perubahan. Saya harap ia akan diteruskan. Kita harap Malaysia akan buat yang terbaik pada masa akan datang,” katanya kepada FLASH SUKAN selepas majlis Pelancaran Kejohanan Bolasepak India Malaysia Bawah 12 Tahun.
Dalam pada itu, dia yakin Kejohanan Bolasepak India Bawah 12 Tahun yang diadakan buat kali pertama bakal menjadi medan terbaik bagi pemain muda menonjolkan kebolehan sebenar mereka untuk diserap bersama skuad kebangsaan pada masa hadapan kelak.
“Pemain yang ada di sini, terbaik akan diserapkan ke Persatuan Bolasepak India Malaysia (MIFA) dan akan diberi latihan sebagai pemain elit.
“Daripada situ kita akan hantar mereka ke tahap Bawah-19 Tahun, Bawah 20 Tahun. Jadi ada banyak pemain yang menyertai kejohanan daripada sini banyak yang menyertai Skuad Kebangsaan Bawah-19 Tahun, Bawah 20 Tahun dalam pasukan PJ City FC,” ujarnya.
Sementara itu, Pengurus Pertandingan KLIFA, Harirajah pula berkongsi pandangan tentang kewibawaan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai pemilik kelab yang berjaya.
Dia berharap akan lahir lebih ramai pemilik yang memiliki karakter dan kemahuan seperti TMJ kerana jelas mengetahui apa yang perlu dilakukan untuk melihat kelab yang diterajuinya kekal berada di puncak meskipun bersaing bersama kelab handalan lain.
“Apa yang sangat bagus tentang Tunku Mahkota Johor adalah biarpun baginda menerima pelbagai kritikan daripada orang ramai yang mengatakan baginda berjaya disebabkan wang yang banyak, namun ia nyata tidak benar sama sekali kerana pada hakikatnya seseorang pemilik perlu pemikiran yang bijak dan bukan hanya wang yang menentukan kejayaan sesebuah pasukan.
“Yang lebih penting adalah know how. Itu adalah faktor penting. Kita boleh mengambil contoh pasukan lain yang memang ada duit. Jikalau kita bandingkan prestasi pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan pemilik kelab lain, ia memang seperti langit dengan bumi.
“Prestasi mereka memang sangat jauh. TMJ tahu apa yang patut dilakukan. Kalau baginda bawa mana-mana pengendali atau sesiapa sahaja, baginda hands on dan tahu apa yang perlu dilakukan dan saya rasakan kita perlukan lebih ramai pemilik kelab seperti TMJ,” jelasnya.
Terdahulu, KLIFA telah mengadakan sidang media menjelang Kejohanan Bolasepak India Bawah-12 Tahun yang akan diadakan pada 12 November di Victoria Institution, Kuala Lumpur.
Penyertaan adalah dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan kelab – kelab terpilih di Kuala Lumpur yang mempunyai kerjasama bersama KLIFA.
Kejohanan sulung ini bakal menempatkan 10 pasukan dari sekolah serta kelab terpilih yang akan bersaing dalam kumpulan A dan B.
Kumpulan A bakal disertai SJK (T) Appar, SJK (T) Saraswathy, SJK (T) Segambut, Ladang Edinburgh dan Majestic Stone FC B manakala Kumpulan B menempatkan Ladang Bukit Jalil, Black Leopard FC, Cochrane Football Club Sentul, Majestic Stone FC A dan SJK (T) Cheras.
Pemenang dan naib juara setiap kumpulan akan mara ke peringkat separuh akhir kejohanan tersebut serta diserapkan secara automatik ke saingan MIFA Junior Beyond Tournament yang akan disertai 37 pasukan dari setiap pelosok negeri di Malaysia.
Ia bakal dilangsungkan di Copa Arena, Universiti Sains Malaysia (USM) , Pulau Pinang bermula 25 hingga 27 November 2022.