PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin bertemu dengan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan pada Isnin.
Menurut perkongsian Ahli Eksekutif FAM Datuk Mohd Hisamudin Yahaya di laman Facebooknya berkata, perjumpaan ini bertujuan untuk memberi penerangan mengenai badan induk bola sepak negara selain persiapan FAM dan skuad Harimau Malaya yang akan bersaing dalam kejohanan Piala Asia pada awal tahun hadapan di Doha, Qatar.
“Semoga apa yang dibincangkan bersama Timbalan Menteri Kewangan ini sedikit sebanyak akan membantu melicinkan urusan dan persiapan kita untuk memastikan sektor sukan khususnya bola sepak mendapat perhatian sewajarnya,” tulisnya.
Hisamudin atau lebih dikenali Yeop Hisamudin turut berkongsi mengenai skuad Harimau Malaya bimbingan Ketua Jurulatih, Kim Pan-gon.
“Sebelum ini, skuad negara yang dibimbing Kim Pan Gon mencipta sensasi apabila menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia secara merit pada Jun tahun lalu.
“Untuk saingan Piala Asia, skuad Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan E bersama Korea Selatan, Jordan dan Bahrain dalam kejohanan yang akan berlangsung dari 12 Januari hingga 10 Februari tahun depan.
“Ketika ini, Harimau Malaya berada pada kedudukan ke-137 dunia, iaitu satu peningkatan mendadak selepas menunjukkan prestasi yang baik dibawah bimbingan Pan Gon termasuk menang dalam empat perlawanan persahabatan Tier 1 pada Mac dan Jun lalu.
“Ranking negara dijangka terus meningkat naik jika mampu mencatat keputusan positif dalam dua jendela aksi antarabangsa pada September dan Oktober ini, selain Kelayakan Piala Dunia 2026 yang akan bermula pada November nanti.”