PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, menerima undangan melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Persatuan Bolasepak Qatar (QFA), Sheikh Hamad bin Khalifa bin Ahmed Al Thani di pejabatnya di Al-Bidda Tower, Doha, pada Rabu.

Turut hadir, Naib Presiden QFA, Saud Abdulaziz al-Mohannadi dan Setiausaha Agung, Mansour al-Ansari.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak berkongsi pandangan dalam isu kepentingan bersama dan potensi kerjasama membangunkannya demi manfaat positif bola sepak Malaysia dan Qatar.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden QFA yang meluangkan masa beliau untuk membincangkan kemungkinan kerjasama bola sepak dua hala antara Malaysia dan Qatar. Saya yakin ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara dalam jangka masa panjang,” kata Hamidin.