SKUAD bawah 23 tahun (B-23) negara diletakkan harapan tinggi untuk mencuri slot kelayakan ke Olimpik Paris 2024.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yakin dengan kemampuan pemain muda negara biarpun menyedari, tidak mudah buat skuad kendalian Juan Torres Garrido, namun aksi terbaik pada saingan Piala Asia B-23 di Qatar April tahun hadapan itu.
“Jangan dilupakan bola sepak pada bulan empat ini, saya juga sudah berjumpa dengan mereka semua (para pemain), manalah tahu, tetapi kita kena berusaha juga.
“Kita mesti cuba, saya tahu ini soalan provokasi, tetapi saya sudah pesan kepada pengurus dan jurulatih, kita mesti berusaha dengan usaha yang maksima… ada 16 pasukan, kita cuba untuk layak ke suku akhir dahulu.
“Saya tahu memang sukar kerana hanya tiga pasukan sahaja yang akan layak (ke Sukan Olimpik), Jepun dan Korea Selatan pula adalah pasukan yang bagus dan sebahagian pemain mereka pernah beraksi di Piala Dunia, dan perkiraan saya menunjukkan satu slot lagi boleh diperoleh, tetapi perlu menentang pasukan dari benua Afrika.
“Prinsip saya adalah, saya tahu sukar, tetapi saya mahu kita berusaha untuk layak juga,” kata Hamidin, pada Majlis Sambutan Deepavali Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di Grand Dorsett, Subang.
Untuk rekod, Malaysia pernah layak ke suku akhir Piala Asia B-23 pada 2018 di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee, sebelum tewas di tangan Korea Selatan.