PEMAIN Harimau Malaya, Akhyar Rashid mungkin terlepas baki perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang akan berlangsung pada Jun ini kerana masih belum pulih sepenuhnya daripada insiden samun dan pukul yang ditimpa pada 2 Mei lalu.
Akhyar yang menjadi mangsa kejadian buruk oleh individu tidak dikenali itu telah mengalami kecederaan serius sehingga terpaksa menerima empat jahitan di bahagian kepala dan dua di bahagian kaki, dan dijangka tidak dapat beraksi menentang Kyrgyzstan pada 6 Jun dan Taiwan pada 11 Jun.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin memberitahu FLASH SUKAN bahawa beliau meletakkan harapan agar Akhyar dapat kembali beraksi bersama skuad kebangsaan untuk perlawanan seterusnya nanti.
“Memang harapan kita supaya Akhyar Rashid dapat kembali bermain lah tetapi keadaan dia masih 50-50. Kita pun sedang berhubung dengan pihak Terengganu FC tentang kondisi dia.
“Di samping itu, kita tahu Faisal Halim juga mengalami satu insiden dan ia menjadi satu perkara yang agak sukar untuk dapat tengok dia bermain.
“Saya ada berbincang pagi tadi (Selasa) dengan coach Kim Pan-gon dan dia cakna tentang perkara ini. Oleh itu, saya rasa dari segi taktikalnya dia sedang buat perancangan terbaik untuk barisan dia nanti,” ujarnya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Terdahulu, Hamidin turut berkongsi rasa sedih dan kesal akan kejadian yang menimpa dua pemain utama Harimau Malaya iaitu Akhyar Rashid dan Faisal Halim.
Dengan kemungkinan bahawa skuad bimbingan Pan-Gon akan kehilangan khidmat dua pemain ini, sudah pasti ia menjadi satu keresahan buat jurulatih dan juga keluarga bola sepak sendiri dalam usaha untuk mengejar dua kemenangan penting pada dua perlawanan itu nanti.