CHEF de Mission Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris, Datuk Hamidin Mohd Amin mahu pemain badminton nombor satu negara, Lee Zii Jia terus fokus kepada latihannya sebagai persiapan menghadapi temasya sukan pelbagai sukan itu pada Ogos.

Hamidin berkata demikian ketika melakukan lawatan ke kem latihan Zii Jia dan pasukannya di Arena Sukan Sentosa, Kuala Lumpur pada Selasa.

Segar dari kejayaannya muncul juara Terbuka Australia minggu lalu, Zii Jia kembali ke tanah air untuk persiapan terakhirnya di bawah kendalian jurulatih, Wong Tat Meng sebelum berangkat ke Paris.

Zii Jia kini sedang menjalani latihan bersama-sama Lee Shun Yang, Lim Chong King, Tan Choong Yen serta Ter Chun Long dan dia disertai jurulatih ‘strength and conditioning’, Lim Joe Heang dan fisioterapis, Rayvadee Rattanakthada.

Hamidin berbincang sesuatu dengan Zii Jia dan Tat Meng (kredit foto: OCM)

“Saya dapat lihat kesungguhan dan semangat mahu membuktikan sesuatu di Paris pada diri Zii Jia dan dia sendiri ada memberitahu saya yang dia sudah tidak sabar untuk beraksi di Sukan Olimpik untuk mencapai sesuatu buat Malaysia.

“Saya juga berpesan padanya untuk terus fokus pada sesi latihannya dan apabila tiba di Paris, dia perlu fokus pada satu perlawanan pada setiap masa. Kita kini menunggu undian yang dijangka akan diadakan pada 12 Julai,” kata Hamidin.

Dibawah tunjuk ajar Tat Meng yang bakal menjadi jurulatih buat kali keempat di Sukan Olimpik, Zii Jia menjalani pelbagai sesi latihan seperti satu lawan satu, satu lawan dua dan satu lawan tiga bagi memastikan dia siap untuk menghadapi sukan berprestij itu.

Lee Zii Jia giat berlatih menjelang undian acara badminton Sukan Olimpik Paris pada 12 Julai (kredit foto: OCM)

Harapan untuk pingat emas pertama negara itu mengesahkan tempatnya dalam acara perseorangan lelaki pada 10 Mei 2024 dan ini akan menjadi penampilan kedua dirinya di Olimpik selepas Temasya Tokyo 2020.