PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, hari ini melawat legenda bola sepak negara yang pernah beraksi di Sukan Olimpik Munich 1972, di kediamannya di Batu Buruk, Terengganu.

Harun, 75, kini bertarung dengan penyakit radang sendi dialaminya sejak hampir 5 tahun lalu.

Hamidin, berkata beliau mengambil kesempatan berada di Terengganu ini untuk bertemu Harun dan mengenang jasanya sebagai wira negara.

“Saya mengambil kesempatan ini melihat keadaan terkini beliau dan berharap semoga segala urusan beliau dan keluarga dipermudahkan.

“Dalam pada itu, saya juga berbesar hati kerana rakan seperjuangan Harun turut sama berada di sini, hari ini,” katanya yang turut hadir bersama barisan exco FAM.

Hadir sama di sesi kunjungan terbabit ialah rakan seperjuangan Harun, iaitu Hj Abdul Rahman Ibrahim, Datuk Syed Abu Bakar Abdullah, Syed Mahmud Syed Hassan,Ismail Botak, Mamat Mbong, Bahari Ahmad, Osman Mohd Khiar, Zulkifli Yusof, Nasaruddin Yassin dan Norzaidi Mohamed.

Sementara itu, isterinya Sharifah Azizah Syed Omar, 72, berkata ketika ini suaminya memerlukan penjagaan rapi kerana tidak mampu bergerak dan hanya bergantung sepenuhnya kepada susu khas untuk meneruskan hidup yang berharga lebih RM100 setin.

“Suami saya tidak mampu bergerak sepenuhnya. Beliau hanya meminum susu dan makan pun hanya makanan yang lembik,” katanya.