BEBERAPA isu membabitkan atlet dalam Road to Gold (RTG) boleh diselesaikan seawal selepas hari raya Aidilfitri ini.
Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, ada beberapa elemen yang diketengahkan atlet tetapi ia tidak membabitkan masalah besar dan boleh diatasi segera.
“Berdasarkan apa yang disuarakan tadi, kita boleh selesaikan cepat, lepas raya dah boleh selesaikan, begitu juga dengan isu membabitkan pemain badminton.
“Perkara itu boleh diselesaikan dan kita akan pastikan (kehendak atlet) dilaksana secepat mungkin, tak boleh ditangguhkan, tak boleh tunggu mesyuarat RTG seterusnya, kita perlu selesaikan,” kata Hamidin sambil memberitahu, pelaksanaan program RTG sudah boleh bermula Mei ini.
Hamidin ditemui selepas melakukan lawatan CDM dan Timbalan CDM Datuk Nicol David ke Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.
Bagaimanapun, Hamidin enggan mendedahkan isu yang dikongsi dua atlet terjun, Nur Dhabitah Sabri dan Datuk Pandelela Rinong.
Sebelum ini, Pandelela menyuarakan hasrat untuk skuad terjun diberikan perkhidmatan tetap pasukan sains sukan, ketika menjalani latihan tempatan, latihan di luar negara dan ketika mengambil bahagian di kejohanan antarabangsa.
Akuatik menjadi destinasi kedua CDM dan timbalannya melakukan lawatan selepas badminton, Rabu lalu.
Dalam pada itu, beliau berkata, sekiranya ada masalah yang tidak dapat diselesaikan, beliau akan bertemu pihak menteri untuk mengusahakan masalah dihadapi atlet, diselesaikan segera.
Tambah beliau, sekiranya kepakaran di Institut Sukan Negara (ISN) tidak mencukupi, RTG akan mendapatkan kepakaran dari luar.
Pandelela dan Dhabitah antara atlet tersenarai dalam RTG, adalah pemenang pingat di temasya Olimpik lalu.
Pandelela pernah menang pingat gangsa dalam acara 10 meter (m) platform individu di London 2012, dan perak 10m platform seirama bersama Cheong Jun Hoong.
Manakala Dhabitah pula memenangi pingat emas 10m platform seirama di Kejohanan Dunia Budapest 2022.