PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mahu para pemain skuad B-16 tahun kebangsaan menjadikan pemain bintang negara, Arif Aiman Hanapi sebagai contoh produk akademi yang berjaya menggegar dunia.
Arif Aiman lahir dari Akademi Mokhtar Dahari sebelum diserap ke Akademi Johor Darul Ta’zim sekali gus menjadikannya seorang pemain berstatus bintang yang kini bergelar jutawan serta menjadi idola pemainnya bola sepak yang sedang meningkat naik.
Hamidin dalam ucapannya kepada skuad kendalian Javier Jorda Ribera mahu para pemain fokus ketika beraksi dan tidak terlalu memikirkan tentang fizikal atau status pasukan lawan jika mereka mahu mencipta sejarah layak ke Piala Dunia B-17 tahun pada 2025.
“Arif Aiman pada awalnya terbiar di AMD tetapi dia dapat masuk ke pasukan yang baik dan berjaya buktikan kemampuannya dan kini lihat di mana dia, dia kini seorang jutawan kerana dia mempunyai skil dan semangat untuk bermain walaupun bertubuh kecil dan pendek.
“Saya percaya semua pemain dalam pasukan ini juga mempunyai skil yang bagus dan kamu hanya perlu fokus kepada bermain bola sahaja dan tidak memikirkan keseronokan di luar seperti teman wanita dan sebagainya macam apa yang dilakukan oleh Arif Aiman,” kata Hamidin.
Hamidin turut meletakkan sasaran untuk layak ke final kerana padanya, mana-mana skuad negara apabila bertanding di peringkat Asean, perlawanan akhir adalah sasaran minimum bagi memastikan kita bersedia menghadapi lawan yang lebih kuat diperingkat yang lebih tinggi.
“Sasaran saya untuk kejuaraan ini adalah layak ke final kerana Malaysia bukan lagi di zaman 20 hingga 30 tahun dahulu yang masuk hanya untuk bertanding dan pulang selepas kalah dua perlawanan.
“Anda semua mesti mempunyai ‘mindset‘ yang semua pasukan berada pada tahap sama dan kita perlu lawan dan hadapi mereka jika mahu pergi lebih jauh terutama ke Piala Asia dan Piala Dunia,” jelasnya.
Malaysia bakal memulakan saingan Kejuaraan Asean B-16 2024 di Surakarta, Indonesia menentang Timor Leste pada 23 Jun sebelum bertemu Australia pada 26 Jun dan Thailand pada 29 Jun dengan juara kumpulan akan layak ke peringkat separuh akhir.