PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menyatakan rasa kesal dan terkejut dengan keputusan yang dibuat oleh Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-Gon yang tekad melepaskan jawatannya.

Namun begitu, pihak FAM tetap teguh memperjuangkan nasib Harimau Malaya selepas peletakan jawatan Pan-Gon sebagai Ketua jurulatih kebangsaan seperti yang diumumkan pada satu sidang media khas di Wisma FAM, Kelana Jaya, petang Selasa.

Susulan itu, Hamidin yang turut memegang jawatan Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Olimpik dan sedang berada di Sepanyol telah mengadakan satu pertemuan bersama pemangku ketua jurulatih, Pau Marti Vicente bagi membincangkan hala tuju pasukan Harimau Malaya.

“Kebetulan juga Pau Marti sedang pulang bercuti di Sepanyol dan saya terus menghubungi beliau untuk datang ke Mallorca, hari ini bagi membincangkan serba sedikit hala tuju pasukan dan perancangan beliau selepas diumumkan sebagai pemangku ketua jurulatih kebangsaan bagi menggantikan Pan Gon.

Kim Pan-Gon umum perletakan jawatan pada Selasa.

“Biarpun kami berdua masih terkejut dengan keputusan drastik Pan Gon untuk meninggalkan pasukan, Pau Marti menyatakan bahawa beliau bersedia untuk menggalas tanggungjawab baharu ini dan mempunyai misi untuk terus memperkasakan skuad Harimau Malaya,” kata Hamidin menerusi kenyataan yang dikeluarkan FAM.

Hamidin turut sempat meluahkan ucapan terima kasih kepada Pan-Gon atas segala bakti yang telah ditaburkan ke dalam arena bola sepak Malaysia dan menegaskan bahawa beliau sebagai Presiden FAM akan terus memberikan sokongan dan perhatian penuh terhadap segala keperluan skuad Harimau Malaya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pan Gon kerana sepanjang dua setengah tahun beliau bersama kita, ranking Harimau Malaya telah meningkat baik dan Malaysia berjaya layak ke Piala Asia secara merit selepas 43 tahun. Sumbangan besar beliau tidak akan kita lupakan.

“Cuma saya sedikit terkilan kerana beliau sebelum ini dengan penuh komited menyatakan mahu terus mengendalikan skuad Harimau Malaya sehingga tamat kontraknya pada Disember 2025. Tapi jurulatih datang dan pergi. Itu hakikat yang perlu kita terima,” tambah beliau.