PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin memberikan amanat terakhir sebelum Malaysia memulakan kempen Piala Asia 2023.
Beliau hadir ke sesi latihan hari ke-13 skuad Harimau Malaya di Qatar University, malam Sabtu.
“Piala Asia ini umpama Mini Piala Dunia kerana ia pentas tertinggi di peringkat Asia yang mana kita sendiri hanya berjaya layak ke pusingan akhir secara merit selepas menunggu selama 43 tahun.
“Pencapaian Malaysia di Piala Asia pada tiga edisi sebelum ini sekadar di peringkat kumpulan pada 1976 dan 1980 serta 2007 (layak selaku tuan rumah bersama). Jadi inilah peluang terbaik untuk kita mencipta satu lagi sejarah, mara ke peringkat kalah mati buat kali pertama.
“Lagipun untuk sebahagian pemain, terutamanya pemain-pemain senior, anggaplah ini sebagai pentas terpenting untuk anda memberikan persembahan terbaik kerana mungkin tidak berpeluang untuk beraksi lagi pada Piala Asia 2027 di Arab Saudi,” kata Hamidin.
Skuad kendalian Kim Pan-gon itu akan membuka tirai saingan Kumpulan E bertemu Jordan pada malam esok (1.30 pagi Selasa, waktu Malaysia), sebelum berdepan Bahrain pada Sabtu, 20 Januari dan Republik Korea pada Khamis, 25 Januari 2024.
Skuad Harimau Malaya telah berada di Doha, Qatar sejak dari 1 Januari lalu.