SESI latihan skuad Harimau Malaya B-23 kendalian E. Elavarasan di Stadium Banbueng, Chonburi, malam ini turut dihadiri oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.
Beliau bersama-sama Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram dan penolong pengurus skuad Harimau Malaya, Datuk Wira Kamarul Ariffin Mohd Shahar tiba dari Chengdu, China, pagi tadi selepas memberikan sokongan buat skuad Harimau Malaya yang berjaya mengikat China 1-1 pada Perlawanan Antarabangsa Tier 1, semalam.
Kehadiran Hamidin di Chonburi pastinya akan memberikan semangat dan tonik tambahan kepada skuad Harimau Malaya B-23 yang bakal berdepan tuan rumah, Thailand pada aksi terakhir Kumpulan H, Kelayakan Piala Asia B-23 2024, pada Selasa.
Ketika ini, skuad kendalian Elavarasan itu berkongsi enam mata dengan Thailand, namun pasukan Gajah Perang itu menduduki tangga pertama menerusi kelebihan jaringan.
Berdasarkan format kelayakan, hanya juara daripada 11 kumpulan dan empat naib juara terbaik akan layak terus ke Piala Asia.