PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin turun melawat skuad Malayan Tigress kendalian Soleen Al-Zoubi di Hotel Armada, Petaling Jaya.

Turut hadir Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Haji Rahman dan penolong pengurus Harimau Malaya, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar.

Dalam kunjungan itu, Hamidin mahu meraikan perayaan Aidilfitiri selain memberikan motivasi kepada skuad senior wanita negara yang bakal beraksi di kejohanan bola sepak wanita di Sukan SEA 2023 Kemboja pada bulan depan.

“FAM sentiasa memberikan sokongan teguh kepada pasukan wanita kebangsaan negara dan saya secara peribadi optimis pasukan ini mampu memberikan satu persembahan positif di Sukan SEA nanti.

“Saya tahu saingan kita nanti di Sukan SEA 2023 adalah pasukan Vietnam dan Filipina yang bakal di Piala Dunia Wanita 2023 Australia pada Julai nanti, saya percaya inilah medan terbaik buat Malayan Tigress kita untuk terus mengutip pengalaman berharga ketika bertemu pasukan-pasukan berkualiti tinggi.

“Dalam perjalanan untuk menguatkan pasukan bola sepak wanita, FAM percaya skuad yang berada di bawah kendalian Soleen ini dapat memberikan sesuatu nanti supaya pasukan ini terus berkembang dan menjadi pelapis utama kepada pemain-pemain wanita yang lain.

“Saya tahu pasukan ini baru dibentuk dan ada pemain-pemain muda yang akan kita akan gilap untuk tempoh empat atau lima tahun akan datang kerana kebanyakan pemain ini datang daripada skuad bawah 20 tahun.

“Ini kerana saya percaya setiap kejayaan bermula dengan permulaan dan saya yakin pasukan ini akan menjadi satu contoh serta permulaan baharu dalam mengubah landskap bola sepak wanita negara pada suatu hari nanti ke mercu yang lebih tinggi,” kata Hamidin dalam kenyataan di Facebook FAM pada Khamis.

Sementara itu, Kamarul yang turut memberikan kata semangat kepada pasukan wanita negara, percaya pasukan bimbingan Soleen mampu menyinar di pentas Sukan SEA 2023 nanti.

“Inilah detik terbaik untuk mereka buktikan setiap pengorbanan mereka dan saya sentiasa percaya skuad ini boleh melangkah lebih jauh sebagaimana FAM sentiasa akan memberikan keutamaan kepada bola sepak wanita,” katanya.