PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin mengucapkan terima kasih kepada semua individu yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung kepada kejayaan skuad kebangsaan menamatkan kemarau 42 tahun secara merit untuk layak ke kejohanan Piala Asia AFC 2023.

Ucapan tersebut turut dipanjangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim, semua kelab yang bertanding dan juga pengelola liga Malaysia Football League (MFL) yang banyak membantu persiapan skuad kebangsaan kali ini.

“Pertama saya nak ucap tahniah kepada semua pemain dan barisan kejurulatihan kerana menamatkan kemarau 42 tahun untuk layak. Kejayaan malam ini bermula dari persediaan kita sejak tahun lalu di UAE dan saya berpuas hati dengan cara kita bermain. Terima kasih juga kepada semua pegawai yang bersama pasukan selama sebulan ini.

“Terima kasih juga kepada Perdana Menteri yang hadir dua kali ke stadium dan semua kelab yang dapat melahirkan pemain dan berada dalam pasukan. JDT banyak menyumbang dari jumlah pemain serta terima kasih uga kepada MFL yang banyak membantu pasukan kebangsaan dari segi jadual liga.

“Saya juga menjunjung kasih kepada TMJ kerana Harimau Malaya berjaya mengikut jejak langkah kejayaan JDT di Asia. Banyak kelab dah mula ikut apa yang JDT lakukan untuk lahirkan pemain berkualiti dan juga menaik taraf infrastruktur.

“Tidak dilupakan Ultras Malaya dan semua penyokong Malaysia baik di stadium mahupun di mana sahaja kerana semangat anda ini adalah bukti bahawa bola sepak adalah suka rakyat dan mempunyai reputasi dan semangat kenegaraan yang tinggi,” jelas Hamidin ketika sidang media khas selepas perlawanan.

Selain itu, Hamidin turut berkongsi perancangan yang telah ditetapkan untuk menghadapi kejohanan terbesar Asia itu dengan beberapa perlawanan persahabatan berkualiti dan berharap Harimau Malaya dapat mengekalkan konsistensi dan bukannya terumbang ambing.

“Kita perlu buat persiapan dari sekarang dan juga dari segi perbelanjaan kerana kita menggunakan cara yang berbeza. Permintaan Kim Pan-gon adalah bertepatan dan dia berjaya menjelaskan apa diminta dan memanfaatkannya.

“Kita akan cuba mendominasi di Piala AFF Mitsubishi Electric. Kita perlu konsisten dalam beraksi dan jika kalah sekalipun ianya adalah kekalahan bermakna. Jumpa pasukan kecil kita wajib menang tetapi segalanya perlu dilakukan satu per satu dan saya mahukan pasukan kejurulatihan menjadi lebih agresif.

“FAM juga akan mengaturkan beberapa siri perlawanan persahabatan dengan pasukan ranking yang lebih tinggi sebagai pendedahan berharga buat para pemain. Sudah sampai masanya kita bertemu pasukan yang lebih kuat. Piala AFF Mitsubishi Electric akan kita gunakan sebagai persediaan dan KPG tahu apa dia nak buat. Kita tidak mahu dibuli di Piala Asia.

“Saya sentiasa tidak puas hati dan akan meminta yang terbaik dari semua pihak. Misi F30 ada sebahagian kita gagal dan ada yang kita dapat capai. Apa pun kita kena bangkit dan jadikan tauladan dan kerja kuat.

“Kita juga perlu berani membuat perubahan yang betuk dan berfikiran jauh untuk kemajuan pasukan. Kerja perlu diteruskan dan harapan saya adalah bola sepak kita boleh meningkat dan kita akan mulakan dengan skuad B20 kebangsaan dahulu,” tambah Hamidin lagi.

Malaysia berjaya layak ke Piala Asia secara merit buat kali pertama sejak 1980 dan ini boleh dianggap sebagai permulaan baharu Harimau Malaya dalam mengembalikan taring sebagai gergasi Asia Tenggara.