PEMANDU Mercedes, Lewis Hamilton mengakui jentera Red Bull jelas adalah yang terpantas pernah dilihatnya sepanjang dia mendominasi bersama pasukannya.
Hamilton berkata demikian ketika melihat Red Bull mudah melakukan pintasan ketika aksi di Grand Prix Abu Dhabi sebelum ini.
Red Bull merekodkan kemenangan 1-2 berturut-turut pada Grand Prix Arab Saudi di Litar Jalanan Jeddah dengan menamatkan perlumbaan secara selesa di hadapan pesaing-pesaing lain.
Penyandang juara dunia itu kini telah mengambil alih tempat Mercedes sebagai kuasa dominan Formula 1 selepas pengeluar Jerman itu muncul juara kategori pengeluar lapan kali berturut-turut dari 2014 hingga 2021.
Re-confirming the top 10 in Saudi Arabia 📊#SaudiArabianGP #F1 pic.twitter.com/9FpHavGyUl
— Formula 1 (@F1) March 19, 2023
Juara dunia dua kali, Max Verstappen yang bermula di petak ke-15 selepas mengalami isu pada sesi kelayakan berjaya memintas kesemua kereta termasuk Hamilton dan rakan sepasukan, George Russell untuk menamatkan perlumbaan di tangga kedua di belakang seorang lagi pemandu Red Bull, Sergio Perez.
“Saya tidak pasti saya patut katakan ini atau tidak tetapi saya tidak pernah melihat kereta sepantas itu. Ketika kami pantas, tidaklah sepantas itu. Itu adalah kereta paling laju dan saya tidak pasti bagaimana dan kenapa tetapi dia memintas saya dengan kelajuan yang luar biasa.
“Saya tidak peduli untuk menghalang kerana dia terlalu laju dan perubahan yang besar dalam kelajuan,” katanya selepas perlumbaan yang menyaksikan dia menamatkan perlumbaan di tangga kelima.
Pencabar Red Bull musim lalu, Ferrari juga ketinggalan dengan Carlos Sainz bersetuju dengan Hamilton mengatakan Red Bull berada pada tahap berbeza namun ianya bukan sesuatu yang perlu dirisaukan untuk para peminat.
“Saya tidak pernah kisah tentang satu pasukan menjadi dominan kerana jika benar mereka melakukan tugas dengan baik, mereka berhak mendapat kemenangan dan saya berharap ianya pasukan saya.
“Malangnya ini adalah sukan kereta lebih dari pemandu, kita tahu itu yang lebih memberikan perbezaan. Red Bull mempunyai barisan pemandu yang mantap tetapi jika jentera mereka lebih bagus, tiada apa yang dapat dilakukan pelumba lain untuk memberikan saingan tetapi ini bukanlah perkara yang baharu dalam sukan ini,” katanya.
Ini bukanlah kali pertama Red Bull dan Max Verstappen bangkit dari petak belakang. Sebelum ini pada Grand Prix Belgium musim lalu, Max memulakan perlumbaan di petak ke-14 sebelum muncul juara dalam musim penuh dominan untuk bergelar juara dunia buat kali kedua.