JUARA berganda berbasikal trek Asia 2023, Datuk Azizulhasni Awang hanya perlu fokus kepada penjagaan diri dan prestasi dalam usaha melayakkkan diri ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Ini berikutan segala permintaan pelumba trek nombor satu negara itu, hampir semuanya dipenuhi.

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nazifuddin Najib berkata, pihaknya sedia membantu pelumba berusia 35 tahun itu terutama sokongan  daripada aspek sains sukan bagi meningkatkan prestasinya ke tahap lebih baik.

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MPM) Mohd Nazifuddin Najib (kanan) menyatakan, MOM bersama CDM Olimpik Paris akan memberi bantuan sebaiknya kepada Datuk Azizulhasni Awang dalam usaha memburu emas pertama ke Olimpik Paris 2024. Setakat ini, hanya sukan berbasikal trek menunjukkan kemajuan positif dan paling layak berada dalam program RTG dengan kejayaan demi kejayaan dihasilkan.

“Bersama Ketua Kontinjen (CDM) Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin, kita membincangkan isu Azizulhasni kerana dia mempunyai harapan besar di Paris kelak.

“Kita tahu ini peluang terakhirnya… dan apa yang dibangkitkan beliau, kita cuba bantu dari segi ISN (Institut Sukan Negara). Kali ini kami beri tumpuan penuh kepada Datuk Azizulhasni dengan harapan dia akan membawa pingat yang tertinggi, iaitu kami harap emas.

“Tapi kita tidak mahu menekannya, kita akan beri sokongan penuh dan yang penting dia berada pada tahap terbaik untuk Paris nanti,” kata Nazifuddin, sambil mengesahkan kebanyakan isu dibangkitkan The Pocket Rocketman, berkaitan dengan sokongan sampingan terutamanya perkhidmatan daripada ISN.

Detik kemenangan Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom menaiki podium bersama di ACC 2023. Permintaan mereka dalam RTG bukan saja-saja,mereka buktikan dengan menaiki podium.

Beliau berkata, dalam program Road to Gold (RTG), hanya khidmat sokongan tambahan ditawarkan dan cuba memenuhi permintaan atlet yang berada dalam program itu.

Sebelum ini, Azizulhasni meluahkan kekecewaannya terutama melibatkan sistem sokongan sukan di Malaysia yang didakwa ‘perlahan’ hingga menjejaskan persiapannya ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Muhammad Shah Firdaus Sahrom menunjukkan semangat kesukanan tinggi, semangat juang yang padu. Meskipun terlibat kemalangan, cedera melecet di sebahagian badan, besi tercucuk punggung dan kemaluan, dia meneruskan perlumbaan demi kejayaan ke Olimpik Paris.

Bagaimanapun, Azizulhasni yang berasal dari Dungun, Terengganu turut menegaskan bahawa dia berhak mendapat semua keistimewaan dalam program elit sukan negara, RTG selepas menoktahkan kemenangan dengan meraih emas dalam acara pecut serta keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) baru-baru ini.

Malah, kemas kini yang dikeluarkan Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI), pelumba berusia 35 tahun itu melonjak ke tangga ketiga dunia dalam acara keirin, manakala pecut individu pula ke tangga keenam.

Justeru, Jawatankuasa RTG mengambil langkah drastik dengan meluluskan permintaan pelumba negara terbabit, bagi memastikan prospek pingat di Sukan Olimpik 2024 itu mendapat segala apa yang diperlukan untuk beraksi di tahap tertinggi.