SAYA orang India, saya yang akan terasa hati terlebih dahulu, tapi dia (Hanis Nadiah Onn) tidak rasis!”

Demikian tegas jurulatih hoki wanita Negeri Sembilan, K Rajan mengenai pemainnya Hanis Nadiah, selepas perlawanan Piala Sumbangsih, Liga Hoki Wanita antara Negeri Sembilan menentang KPT-Uniten Thunder.

Hanis Nadiah, 27, membuat komen berbaur perkauman ‘bau best la kat dalam tu’ di media sosial ketika konsert artis dari India, AR Rahman di Stadium Nasional Bukit Jalil 28 Januari lalu.

Hanis Nadiah akur dan menerima dengan hati terbuka hukuman penggantungannya yagn melarang dia terlibat daripada perlawanan antarabangsa.

“Tiada isu, boleh dianggap dia melakukan kesilapan menggunakan perkataan tapi bukannya dia cakap perkataan ‘keling’ ke apa.

“Sudah lama saya mengenali Hanis sudah lama sejak dia bersama pasukan kebangsaan hampir satu dekad. Dia bermain untuk Negeri Sembilan dalam LHM musim lalu membantu kami menjulang juara Liga dan muncul naib juara keseluruhan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN : Komen berbaur perkauman : Hanis Nadiah digantung wakili pasukan hoki kebangsaan

Jurulatih hoki waninta Negeri Sembilan mengenali Hanis Nadiah sejak gadis berusia 27 tahun itu menyertai skuad kebangsaan 2014.

Menurutnya, isu ini tidak patut dipanjangkan lagi kerana Hanis Nadiah juga sudah dikenakan hukuman gantung daripada mewakili pasukan kebangsaan.

“Ini adalah pengajaran buat Hanis Nadiah dan juga atlet lain supaya lebih berhati-hati membuat kenyataan di laman media sosial,” kata Rajan.

Hanis mula mewakili pasukan kebangsaan sejak 2014 dan memiliki 84 kaps dengan rekod 36 jaringan gol.