KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) meletakkan harapan penuh kepada setiap pemain agar dapat saling berganding bahu dengan penuh semangat, untuk memburu gelaran juara di saingan Piala Thomas dan Piala Uber yang akan berlangsung pada 27 April hingga 5 Mei ini.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, kejohanan yang diadakan di Chengdu, China adalah medan buat para pemain untuk menunjukkan sikap bertanggungjawab masing-masing dan seterusnya dapat menghasilkan keputusan positif.

Pastinya Malaysia akan melakar satu sejarah baharu sekiranya dapat muncul kembali sebagai juara Piala Thomas, sejak kemenangan terakhir yang diraih pada tahun 1992 yang lalu.

“Saya berharap pasukan lelaki dan wanita akan memainman peranan masing-masing dan paling penting ada kerjasama dalam pasukan dan mereka perlu bermain betul-betul. Bagi pihak negara, Piala Thomas dan Piala Uber sangat penting untuk peminat badminton Malaysia.

“Kita harus lakukan yang terbaik dan peluang itu (muncul juara Piala Thomas) saya berharap ia boleh berlaku. Setiap pemain perlu berikan sumbangan mereka, lakukan tugasan mereka, itu yang sangat penting. Ia tidak boleh memikirkan diri sendiri sahaja.

“Itu yang terjadi pada 1992 (semangat bekerjasama dalam pasukan) apabila setiap pemain memainkan peranan sangat penting dalam pasukan,”ujar Hannah Yeoh ketika ditemui di Menara KBS, pada Selasa.

Terdahulu, FLASH SUKAN melaporkan bahawa Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sendiri, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria telah mencabar para atlet untuk mencipta satu sejarah baharu dengan meraih kemenangan di sana.

ARTIKEL BERKAITAN: Norza cabar skuad Piala Thomas cipta sejarah baharu

Sebagai tonik untuk meningkatkan semangat dan usaha para pemain, BAM telah menjanjikan ganjaran lebih RM1 juta sekiranya skuad lelaki negara muncul juara Piala Thomas sejak kali terakhir membolot kemenangan pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.