MENTERI Belia Dan Sukan, Hannah Yeoh bertemu pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Ibu Pejabat JDT Iskandar Puteri untuk berkongsi progres projek penukaran rumput jenis Zeon Zoysia di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Mac lalu, Tunku Ismail bersetuju menaja rumput Zeon Zoysia kepada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bernilai RM1 juta bagi memastikan padang di stadium terbesar Malaysia itu mempunyai kualiti terbaik untuk permainan bola sepak.

Pertemuan ini dinyatakan menerusi hantaran di laman sosial rasmi Tunku Ismail meneliti kertas kerja yang disembahkan oleh Hannah kepadanya.

 

“Pertemuan ini bagi membincangkan perkembangan terkini penanaman rumput jenis Zeon Zoysia di Stadium Nasional Bukit Jalil kurniaan Baginda pada Mac tahun lalu,” tulis hantaran itu.

Padang baharu Stadium Nasional Bukit Jalil bakal menjadi ujian buat skuad Harimau Malaya yang dijadualkan bermain di gelanggang keramat itu untuk Kejohanan Pestabola Merdeka yang bermula dari 13 hingga 17 Oktober 2023.

Empat perlawanan dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan Malaysia diundi bertemu India dalam perlawanan kedua pada 13 Oktober dengan pemenang perlawanan itu akan layak ke perlawanan akhir pada 17 Oktober.

PSM menerusi Presidennya Datuk Hans Isaac pula mengesahkan pemasangan rumput di stadium itu akan selesai pada penghujung Ogos dan bersedia digunakan untuk kejohanan bersejarah itu.