MENTERI Belia Dan Sukan, Hannah Yeoh gembira dengan keputusan pemain perseorangan lelaki sensasi negara, Lee Zii Jia untuk melantik Wong Tat Meng sebagai jurulatih bagi memperbaiki persembahan dirinya untuk memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Paris 2024.
Hannah melihat perkara ini sebagai perkembangan positif kerana dia percaya tindakan Zii Jia itu adalah untuk membantu meningkatkan prestasi dirinya dan mula bergerak ke hadapan untuk layak ke Olimpik Paris tahun hadapan.
“Pelantikan Tat Meng dilantik oleh Lee Zii Jia sendiri dan fokus mereka kini adalah untuk lakukan yang terbaik untuk layak ke Olimpik. Sebelum ini kita tahu dia mempunyai masalah mencari jurulatih dan kita juga tahu sangat penting untuk dia ada jurulatih. Kita gembira kerana Zii Jia sudah bergerak ke hadapan dan membuat keputusan untuk mengambil jurulatih.
“Kami juga berharap prestasi dia akan bertambah baik dan kami tahu dia mahu memenangi pingat emas dan kini kami gembira kerana dia mengambil langkah untuk memperbaiki dirinya,” katanya ketika sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Sukan di Putrajaya.
Sebelum ini Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata dia masih mampu bersabar dan memberi peluang kepada pemain ranking ke-10 dunia itu kerana yakin pemain itu tetap aset negara untuk meraih pingat emas pertama di Sukan Olimpik.
Hamidin bagaimanapun turut menjelaskan bahawa Zii Jia dan pemain-pemain badminton lain yang berada dalam program RTG perlu memastikan mereka layak sekurang-kurangnya ke pusingan suku akhir dalam mana-mana kejohanan yang disertai selepas ini.
ARTIKEL BERKAITAN: RTG: Zii Jia masih diberi masa, “Dia tak boleh buktikan, kita terpaksa buat satu keputusan”
Hannah juga menegaskan tempat Zii Jia dalam projek Road To Gold (RTG) tidak terjejas kerana dia perlu berada dalam senarai 10 pemain terbaik dunia walaupun dia tersingkir dari Kejohanan Malaysia Masters di pusingan 16 terbaik hujung minggu lalu.
“Kekalahan dia tidak menggangu kerana RTG berdasarkan 10 terbaik di bar. Kesemua mereka yang terlibat dalam program RTG kini sedang berusaha untuk layak ke Olimpik dan pihak kami akan pantau mereka untuk pastikan mereka yang masuk diberikan bantuan,” tambahnya.