KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menyeru lebih banyak syarikat korporat dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk terlibat secara aktif dalam menaja serta menyokong pembangunan sukan negara.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menyatakan komitmen KBS dalam mencari jalan agar proses penajaan korporat lebih mudah dan menarik kepada syarikat-syarikat besar di Malaysia.

Menurutnya, salah satu langkah yang telah diambil adalah memberikan potongan cukai sebanyak 10% kepada syarikat-syarikat yang menyalurkan penajaan mereka melalui Majlis Sukan Negara (MSN).

Namun, potongan 10 peratus  ini mungkin belum mencukupi untuk menarik minat sebilangan syarikat besar atau GLC. Oleh itu, KBS sedang bekerjasama dengan Kementerian Kewangan untuk mencari kaedah lebih efektif dalam menggalakkan penyertaan korporat.

“Kami mahu menggalakkan syarikat korporat atau GLC untuk ‘mengangkat’ sukan tertentu di negara ini. Di Malaysia, kami kini mempunyai 103 sukan yang diwartakan, termasuk sukan kompetitif dan sukan rekreasi. Ada pasaran untuk setiap sukan, dan kami mengalu-alukan sumbangan daripada semua pihak,” ujar Hannah  selepas majlis Penyerahan Sumbangan dari Milo kepada Wira Olimpik & Paralimpik Malaysia.

Sekitar majlis penyampaian Penyerahan sumbangan Milo kepada Wira Olimpik & Paralimpik Malaysia.

Hannah juga menekankan bahawa sumbangan tidak semestinya dalam bentuk kewangan. Syarikat yang ingin membantu dalam bentuk lain, seperti sumbangan produk atau perkhidmatan, boleh berbincang dengan KBS atau MSN untuk mencari jalan penyelesaian. Sebagai contoh, Milo telah menyumbang minuman kepada pelbagai acara sukan sekolah dan kejohanan tempatan selama bertahun-tahun, menunjukkan bentuk penajaan yang amat berharga selain daripada wang tunai.

“Namun, penajaan daripada syarikat vape dan rokok adalah dilarang. Kami berharap lebih banyak syarikat, terutamanya GLC, dapat mencari cara kreatif untuk menyokong pembangunan sukan di negara ini.”

Hannah Yeoh turut menyatakan bahawa pelaburan dalam sukan bukan sahaja akan memberi manfaat kepada atlet semasa, tetapi juga kepada generasi akan datang.

“Apabila GLC melabur dalam sukan, mereka sebenarnya melabur dalam generasi masa depan, bukan hanya untuk kumpulan atlet semasa.

“Dengan komitmen seperti ini, KBS berharap lebih banyak syarikat besar dan GLC akan terlibat dalam usaha membangunkan sukan Malaysia, seterusnya melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia di masa akan datang.”