MENTERI Belia dan Sukan  Hannah Yeoh menggalakkan agar lebih banyak pusat membeli-belah di Malaysia menyediakan ruang untuk aktiviti sukan ‘indoor’.

Hannah berkata, dengan adanya ruang di dalam pusat membeli-belah sekaligus dapat mempromosikan sukan kepada pengunjung yang datang sekaligus mendorong mereka untuk menyertai sukan indoor khususnya kepada kanak-kanak kecil.

“Saya nak ucapkan tahniah kepada Sunway Group dan Sunway Pyramid kerana tahun ini merupakan tahun ke-26 mereka mengadakan Skate Malaysia.

“Bila kita ada tempat pusat membeli-belah sebagai tempat untuk anak muda bersukan seperti ini, ianya akan memupuk minat dalam kalangan pengunjung terutamanya kanak-kanak dan akan rasa mahu ambil bahagian dalam sukan tersebut,” kata Hannah selepas Majlis Pelancaran Siri Kejohanan Skate Malaysia pada Khamis.

Dalam masa yang sama, dia juga menggalakkan agar pusat membeli belah untuk melihat semula bagaimana pihak mereka boleh memaksimumkan penggunaan ruang dalam usaha mempromosikan aktiviti sukan kepada orang ramai.

Jelas Hannah, 103 aktiviti sukan telah disenaraikan dalam Akta pembangunan sukan dimana terdapat banyak jenis sukan yang boleh dipromosikan tanpa menggunakan ruang yang besar di pusat membeli-belah.

“Saya minta pusat membeli-belah untuk menggalakkan lebih banyak program seperti ini kerana kanak-kanak akan mudah untuk belajar dan seterusnya peningkatan dari segi sponsorhip akan berlaku.

“Saya telah bincang dengan Encik Chan untuk melihat apa lagi aktiviti sukan indoor yang mereka boleh promosikan kerana pusat membeli-belah di Malaysia merupakan tempat untuk komuniti berkumpul terutamanya keluarga pada hujung minggu,” ujarnya lagi.

Siri Kejuaraan Skate Malaysia siri ke-14 dan Kejohanan Ice Skating Institute Asia (ISIAsia) siri ke-13 yang akan berlangsung dari 22 Jun hingga 25 Jun 2023 dan Sunway Pyramid Ice akan menjadi tuan rumah untuk acara tersebut.

Skate Malaysia merupakan acara terbesar yang pernah diadakan yang melibatkan seramai 450 pemain skate daripada tujuh negara iaitu Malaysia, Thailand, Filipina, Indonesia, China, Amerika Syarikat dan Kuwait.