PERANAN Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) amat dihargai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan mahu yayasan terbabit terus memperbanyak aktiviti membantu bekas atlet.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, Yakeb dan KBS berada di landasan yang sama namun memainkan peranan berbeza.
“Tanpa Yakeb sukar untuk kita memberi tumpuan kepada kebajikan bekas atlet kerana Kementerian Belia dan Sukan (KBS) banyak memberi tumpuan kepada prestasi sukan. Jadi tanpa Yakeb memang kita tidak mampu (mengambil berat soal kebajikan),” katanya.
Hannah berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Cek Khairat Kematian kepada Waris Atlet Negara di pejabat Yakeb semalam yang turut dihadiri Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.
Pada majlis itu, lima keluarga bekas atlet menerima sumbangan khairat kematian RM3,000 daripada Yakeb.
Lima keluarga terbabit adalah keluarga mendiang S Sabapathi, Allahyarham Salahuddin Che Rose, mendiang Marciano Franco, mendiang S Sukumaran dan Allahyarham Hashim Mustapha.
Bagi waris atlet, anak mendiang S.Sabapathi, Mahaletchumy, dia masih merindukan bapanya.
“Saya masih rindukan ayah.. dengan pemberian sumbangan ini, saya berterima kasih atas sokongan dan bantuan Yakeb. Saya berbangga menjadi anak kepada ayah saya,” kata Mahaletchum.
Mendiang Sabapathi adalah atlet olahraga kebangsaan yang mewakili negara di Sukan SEAP (1971, 1973, 1975) memenangi pingat emas, perak dan ganggsa acara 400 meter (m) dan 4x400m, mewakili negara di Sukan Asia, Bangkok 1970 dan Sukan Olimipik di Munich, Jerman, 1972.
Sabapathi meninggal dunia pada 14 Disember lalu akibat komplikasi jantung, dementia dan darah tinggi.
Dalam pada itu, Hannah mengalu-alukan kerjasama badan korporat untuk menghulur sumbangan kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) bagi membantu bekas atlet kebangsaan.
Katanya, sumbangan daripada korporat adalah salah satu usaha murni untuk menyumbang kembali kepada bekas atlet yang sebelum ini sudah banyak menyumbang kepada negara menerusi pencapaian mereka.
“Apabila di kemuncak, atlet kebangsaan banyak memberi sumbangan kepada negara namun bila sudah tua dan sakit, saya yakin Yakeb akan hadir sebagai penyelamat dan membantu mereka.
“Jadi kami memang mengalu-alukan bantuan pihak korporat untuk bantu bersama-sama dengan mereka (Yakeb). Bagi memperkasakan lagi bantu kepada bekas atlet kita boleh serahkan kepada mereka.
“Sebelum ini juga ada banyak isu yang sudah dibangkitkan oleh atlet mengenai kebajikan mereka terutama dari segi kesihatan apabila mereka sudah tua dan juga dari segi pendidikan,” katanya.