NASIB pemain badminton perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei di Sukan Olimpik 2024, tetap terbela dan tidak timbul isu bahawa Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meminggir keperluannya, yang mahu jurulatih mengiringinya ke Paris.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, sebaliknya Jin Wei akan menerima bantuan secukupnya terutamanya daripada barisan jurulatih Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang sebaik kejohanan bermula.

Hannah Yeoh sudah mendengar penjelasan semua pihak dan berusaha memastikan keperluan Goh Jin Wei di Paris terjaga.

Beliau menafikan kegagalan menyediakan akreditasi kepada jurulatihnya, Nova Armada akibat jumlah yang dihadkan kepada Malaysia, sebaliknya jurulatih itu mempunyai satu lagi komitmen yang juga penting.

“Nova adalah jurulatih untuk atlet para, jadi dia akan melatih Cheah Liek Hou dan atlet para lain serta ke Paralimpik.

“Liek Hou juga telah penyatakan pandangan dan keperluannya juga,” kata Hannah.

Nova Armada adalah jurulatih para negara dan perlu berada bersama Cheah Liek Hou untuk mempersiapkan diri ke Paralimpik.

Jelas beliau lagi, Liek Hou memburu kejuaraan berganda dan memerlukan jurulatihnya juga.

“Kalau benarkan jurulatih Nova pergi bersama (Jin Wei), Cheah Liek Hou pula akan rasa atlet para tidak dihiraukan dan tidak dipandang. Jadi ini menyebabkan semua orang rasa bersalah. Saya sendiri ada bercakap dengan jurulatih Rexy (Mainaky) dan saya percaya Rexy sebagai ketua jurulatih akan memberikan bantuan yang secukupnya untuk membantu Goh Jin Wei,” katanya.

Hannah Yeoh mengambil kira kepentingan semua pemain badminton baik di bawah payung BAM mahupun profesional.

Sebelum ini, FLASH SUKAN melaporkan Jin Wei ke Paris tanpa jurulatih dan gusar dengan perkembangan itu apabila terpaksa beraksi tanpa sokongan dan dokongan daripada jurulatih di belakang.

Namun begitu, Liek Hou juga menyuarakan pendapatnya yang dirinya juga memerlukan jurulatihnya itu bagi melakukan persiapan yang lebih rapi dan gitu agar dapat mempertahankan emas yang dimenangi pada Olimpik Tokyo 2020 yang lalu.