KETIKA tumpuan terarah kepada atlet negara yang layak ke Sukan Olimpik Paris 2024, nasib pemain badminton negara Ng Tze Yong yang ditimpa malang pada pertengahan jalan, tidak dilupakan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Institut Sukan Negara (ISN) akan bekerjasama menyediakan perkhidmatan terbaik untuk dia kembali pulih dari kecederaan belakang.
“KBS melalui ISN akan terus berusaha menyediakan rawatan terbaik untuk perubatan dan perancangan pemulihan supaya dia dapat kembali ke gelanggang untuk memperbaiki semula ranking dunia dia.
“Anak muda ini mempunyai begitu banyak potensi, tetapi misinya untuk layak ke Olimpik (Paris) kali ini terganggu kerana kecederaan yang dialaminya. Doa saya untuknya adalah agar dia pulih sepenuhnya dari kecederaan dan pembedahannya,” kata Hannah menerusi perkongsian di Facebook rasminya.
Beliau turut berkongsi momen pemain berusia 24 tahun itu, yang memiliki kenangan terbaik ketika menentang beberapa pemain terbaik dunia yang disifatkan sebagai perlawanan terbaik untuk dirinya.
“Saya duduk bersamanya makan tengah hari dan mendengar luahan hati tentang kebimbangan, kekecewaan, dan proses pemulihannya.
“Saya tidak akan lupa kemenangannya menentang Viktor Axelsen dalam Terbuka Seluruh England 2023. Dia tenang dan bersahaja,” kata Hannah.
Tze Yong terpaksa melupakan impian ke Olimpik apabila dirinya masih di dalam proses pemulihan kecederaan otot belakangnya meskipun rankingnya ketika itu melayakkan dia ke temasya terbesar dunia itu.