MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tampil memberi kenyataan di laman Facebook rasminya berikutan pelbagai spekulasi yang timbul selepas kedua-dua pasukan iaitu Malaysia dan Oman tidak dibenarkan untuk menjalani sesi latihan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Selasa.

Menurut Hannah, faktor utama Fifa Match Commissioner (MC) tidak membenarkan pasukan Malaysia dan Oman berlatih di SNBJ adalah kerana cuaca hujan pada waktu petang, sejak kebelakangan ini.

Dalam masa yang sama, Hannah turut berkongsi berita gembira buat penonton bola sepak bahawa kegunaan padang SNBJ untuk perlawanan pada esok (Selasa) telah mendapat kelulusan dari pihak MC sendiri.

Dengan itu, beliau sempat menyeru agar semua penyokong bola sepak Harimau Malaya untuk sama-sama memeriahkan stadium dan berikan sokongan paling padu buat pasukan Malaysia.

Keadaan padang yang digembar-gembur oleh rata-rata penyokong bola sepak di media sosial.

Terdahulu, FLASH SUKAN melaporkan bahawa kedua-dua pengendali, Malaysia dan Oman meluahkan rasa bimbang dan tidak berpuas hati dengan keadaan padang SNBJ yang dikhabarkan masih dalam keadaan yang tidak baik.

Stadium keramat tersebut sepatutnya digunakan bagi menjalani sesi latihan rasmi sebelum berlangsungnya perlawanan sebenar, namun venue latihan telah ditukar dengan Malaysia akan berlatih di Wisma FAM manakala Oman diberikan Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Kini, dengan kenyataan yang jelas oleh Hannah Yeoh tambahan gambar terkini padang yang dimuat naik oleh beliau dapat mengubat rasa khawatir yang timbul di kalangan penyokong bola sepak dan pihak tertentu.

Artikel Berkaitan: Pengendali Malaysia dan Oman sepakat tak puas hati keadaan padang SNBJ