BAJET dalam bola sepak melibatkan pengagihan sumber kewangan untuk pelbagai keperluan yang berkaitan dengan pengurusan pasukan dan penyelenggaraan perlawanan.

Terdapat beberapa komponen penting dalam bajet bola sepak, termasuklah gaji dan kontrak pemain/jurulatih, perbelanjaan perjalanan dan penginapan, fasiliti latihan dan peralatan dan kelengkapan serta kos perlawanan dan acara dan lain-lain lagi.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pihaknya telah meminta pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyediakan info dan laporan pasukan lain kepada kementeriannya bagi meneliti bentuk bantuan dan sokongan yang boleh disalurkan untuk pasukan Harimau Malaya.

“Apa yang saya nak lihat selepas ini adalah untuk mengkaji dalam kumpulan ini (Kumpulan E) Piala Asia 2023. Kalau tengok lawan kita, apa persiapan yang mereka telah lakukan dan apa bentuk sokongan yang mereka ada di negara mereka.

“Kita kalau bezakan dan bandingkan dengan ranking sahaja, tak cukup. Apa bajet mereka, apa jenis cukai insentif di negara mereka. Persiapan ini kita tak boleh lihat hanya 90 minit perlawanan atas padang sahaja, kita kena tengok keseluruhannya.

“Ini adalah peranan KBS untuk lihat dan saya telah minta semua info daripada Datuk Hamidin Mohd Amin dan kita akan kaji secara teliti.

“Kita nak pastikan memainkan peranan kita, jurulatih akan mainkan peranannya dan FAM akan mainkan peranan tetapi saya nak lihat ekosistem untuk bantu pembangunan sukan bola sepak,” katanya di Doha, Qatar ketika ditemui pemberita sempena kejohanan Piala Asia 2023.

Menurut Hannah, mandat lima tahun mengetuai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan dipergunakan semaksimum mungkin dalam meletakkan Harimau Malaya terus kekal beraksi di pentas antarabangsa.

 

“Itu sebab saya telah mula review program NFDP (Program Pembangunan Bolasepak Negara) dan telah mula bincang dengan kelab-kelab untuk pastikan dapatkan pasukan Harimau Malaya yang terbaik ini.

“Ekosistem keseluruhan kita kena nilailah dan ini adalah mandat saya dalam lima tahun ini untuk perbaiki ekosistem,” ujarnya.