MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjelaskan Malaysia amat bertuah kerana mempunyai ramai kanak-kanak perempuan yang memiliki minat mendalam sukan bola sepak.

Jelasnya, sebahagian besar daripada populasi kanak-kanak perempuan di Malaysia ini berpotensi untuk dikembangkan menjadi pemain yang baik pada masa hadapan.

“Sebenarnya bakat wanita ini banyak dan ini akan mewujudkan lagi banyak rasa minat terhadap bola sepak. Dengan adanya pemikiran seperti ini, sesetengah populasi di Malaysia ini kita boleh cungkil untuk main bola sepak,” jelasnya ketika ditemui semasa Majlis Perasmian Liga Wanita Nasional 2023 di Stadium Uitm Shah Alam.

Selepas ini, Hannah akan memfokuskan kepada ekosistem dalam bola sepak wanita dengan mengadakan townhall bersama atlet serta jurulatih.

Menurut Hannah, dana serta penajaan amat diperlukan  bagi memperkasakan bola sepak wanita ke tahap membanggakan.

“Saya akan adakan Townhall selepas ini bersama atlet dan jurulatih wanita untuk melihat ekosistem.

“Selalunya kalau kita nak ramaikan jurulatih wanita, kita kena wujudkan lebih banyak kelab. Kalau hendak wujud lebih banyak kelab, kita perlukan duit dan penajaan yang mencukupi. Seluruh ekosistem harus diperketat dan diperkasa jika ingin membangunkan bola sepak wanita,” ujarnya.

Tambah Hannah, dengan adanya penganjuran Liga Wanita Nasional 2023, ia jelas membuka lembaran lebih besar kepada perbincangan terbuka bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

“Ini adalah satu permulaan yang bagus. Kita akan berbincang dengan FAM. Kita sudah berbincang dengan Majlis Sukan Negara juga untuk melihat apa jenis sukan yang boleh kita fokus lebih pada tahun ini.

“Sebenarnya, semua sukan ada bajetnya cuma keutamaan diberikan kepada persatuan sukan kebangsaan itu yang kita kena tengok. Dengan adanya sokongan FAM kepada liga wanita, saya percaya akan ada lebih banyak ruang team wanita kembangkan lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Hannah turut yakin bahawa peranan media sangat ditagih dalam membuat siaran langsung bagi menaikkan semangat kanak-kanak perempuan agar lebih meminati bola sepak.

“Saya juga percaya peranan media sangat membantu dengan adanya siaran langsung. Ia bermula dengan tontonan, apabila kanak-kanak tonton minat akan dipupuk dan mereka rasakan mereka boleh masuk. Kalau takde live mereka pun tidak tahu,” jelasnya.