MENTERI Belia Dan Sukan, Hannah Yeoh mahu skuad Harimau Malaya menggunakan kesempatan bertemu Republik Korea untuk menimba pengalaman di peringkat antarabangsa yang tidak ternilai.

Hannah yang memuat naik hantaran di laman sosial rasminya juga mahu anak-anak buah Kim Pan-gon tidak menganggap kegagalan di Piala Asia bukanlah penamat segala-galanya kerana perjalanan yang masih panjang.

“Sekarang ini saya akan terbang balik ke KL dari Doha. Walaupun Harimau Malaya tidak mara ke pusingan seterusnya dalam Piala Asia 2023, namun mereka mendapat pendedahan di peringkat antarabangsa menentang pasukan yang jauh lebih kuat.

“Menentang Korea minggu ini pastinya akan membantu para pemain kita memperolehi pengalaman yang tidak ternilai. Setiap perlawanan, peminat hanya mahu melihat para pemain kita memberikan yang terbaik.

“Piala Asia bukanlah penamat segala-galanya. Ini kerana masih banyak lagi yang perlu ditempuhi bermula Mac depan, termasuk Piala Asia seterusnya dan kelayakan Piala Dunia pusingan akhir peringkat Asia. Malaysia mesti berusaha untuk memastikan kelayakan melalui merit selepas 42 tahun bukanlah satu keajaiban. Kita mesti menjadikannya sebagai suatu kemestian dalam setiap Piala Asia.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Konfederasi Bola Sepak Asia atas layanan yang baik kepada saya,” menurut hantaran itu.

Hannah yang juga berada di Stadium Jassim Bin Hamad turut mengucapkan terima kasih kepada Ultras Malaya serta penyokong Malaysia yang disifatkannya sebagai penyokong berkelas dunia yang sentiasa berada di belakang pasukan tanpa mengira keputusan perlawanan.

“Terima kasih khas buat Ultras Malaya kerana telah menunjukkan kepada saya, betapa mereka adalah penyokong setia berkelas dunia – menang atau kalah, mereka kekal melaungkan sorakan dan menyanyikan lagu Negaraku dengan penuh rasa bangga.

“Mereka menabung dan menanggung kos sendiri (ada sesetengahnya perlu melalui transit yang sangat lama), namun kekal setia di sisi pasukan kebangsaan walaupun sebelum pasukan kita layak ke pusingan ini lagi,” tambahnya.

Malaysia akan melengkapkan aksi Kumpulan E bertemu Republik Korea pada Khamis di Stadium Al Janoub dalam usaha sekurang-kurangnya mencari satu mata dan gol pertama kejohanan.