MENTERI Belia dan Sukan Hannah Yeoh mahu inisiatif Rahmah yang popular di kalangan masyarakat diperluaskan ke industri sukan bagi membantu rakyat menikmati akses yang lebih berpatutan ke atas barangan sukan.

Permintaan itu sebagai tanda penghormatan terhadap pengasas konsep Rahmah, Datuk Seri Sallahuddin Ayub yang meninggal dunia pada Ahad dan juga meneruskan legasi yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.

Hannah yang ditemui di sesi ‘Meet and Greet’ bersama pelari pecut kebangsaan, Azeem Fahmi di Putrajaya, mahu membawa perkara ini ke Parlimen bagi melihat bagaimana ianya boleh dikembangkan lagi kepada sektor sukan.

“Saya pernah berbincang dengan Allahyarham mengenai perkara ini yang melibatkan peralatan sukan untuk memastikan kanak-kanak mendapat akses terhadap peralatan sukan.

“Perdana Menteri telah menyatakan bahawa inisiatif Rahmah ini akan diteruskan kerana ianya popular di kalangan masyarakat kerana ianya sangat membantu mereka,” katanya.

Dalam sesi itu juga Hannah menjelaskan dia mahu konsep bertemu atlet ini diteruskan bagi memupuk minat golongan pelajar mengikuti perkembangan atlet negara.

“Melalui ‘engagement’ seperti ini, ianya akan memupuk minat pelajar kepada sukan dan mereka akan balik dan Google dan tengok YouTube. itu yang diperlukan pada hari ini untuk memulakan semula program di peringkat sekolah untuk memupuk minat di peringkat awal terutama olahraga dan renang.

“Kalau mereka tidak berjumpa dengan atlet mereka tidak akan rasa semangat patriotik dan tidak mengenali atlet mereka secara dekat dan saya percaya semua pelajar ini akan mengikuti Azeem apabila dia berlari,” jelasnya.

Hannah turut mahu semua Majlis Sukan Negeri untuk melakukan program seperti ini untuk terus memupuk minat terhadap sukan di peringkat sekolah.