KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mahu mengetahui motif serangan yang dibuat terhadap penyerang Harimau Malaya, Faisal Halim, tanpa membuat spekulasi berhubung insiden itu.
Menterinya, Hannah Yeoh, berharap pihak polis dapat mengenal pasti dan menyiasat motif utama kejadian yang menimpa membabitkan Faisal Halim yang dipercayai disimbah asid, kelmarin.
Beliau berkata, pihaknya kesal dengan insiden malang yang menimpa tonggak utama Selangor FC itu.
Justeru, beliau mengharapkan agar polis dapat menjalankan siasatan dengan terperinci bagi mengetahui motif sebenar kejadian.
“Untuk KBS kita benar-benar kesal melihat tragedi ini dan tidak sepatutnya berlaku terhadap atlet kita, atau mana-mana manusia. Sebab itu, kita berharap pihak polis mengambil tindakan paling tegas terhadap suspek untuk pastikan motif ini dikenal pasti.
“Jika motif tidak dapat dikenal pasti, perkara ini mungkin akan berlaku kepada orang lain. Sebab itulah, siasatan polis ketika ini amat penting,” katanya, ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KBS dengan Malaysia Aviation Group (MAG) di Sepang pada Selasa.
Ketika ditanya mengenai laman sosial yang dilihat menjadi penyemai isu kebencian hingga tercetus suasana tidak baik, Hannah enggan mengambil tindakan terburu-buru untuk berjumpa dengan pihak berwajib bagi menyekat akaun media sosial tertentu.
Katanya, tidak adil untuk menyekat mana-mana laman sosial yang didakwa menjadi punca Faisal diperlaku sebegitu tanpa mengetahui punca jenayah terlebih dahulu.
“Sukan adalah satu bidang melibatkan banyak ‘passion‘ (keghairahan dan semangat) dan adat menang kalah memang perkara biasa dan saya juga melihat sewaktu isu keadaan padang (Stadium Nasional Bukit Jalil) dimana Datuk Hans Isaac menerima ugutan dalam talian.
“Jadi, bagi saya biarlah pihak polis menyelesaikan siasatan mereka dan kita tidak mahu mengekang kebebasan dalam media sosial kerana itu tidak adil buat peminat sukan,” katanya.