MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyerahkan isu kemelut yang berlaku dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan Datuk Misbun Sidek kepada badan induk itu untuk diselesaikan secara dalaman.

Jelas Hannah, segala isi kandungan kontrak dan juga perbincangan antara dua pihak itu tidak diketahui dan ianya merupakan isu obligasi kontraktual antara dua pihak itu serta menuntut BAM menangani isu tersebut.

Hannah Yeoh ditemui selepas penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Sukan Remaja Komanwel 2023 di KBS.

“Ini adalah isu obligasi kontraktual antara BAM dan jurulatih mereka. Saya rasa biar BAM jawab dulu apa-apa isu yang telah diketengahkan oleh Datuk Misbun dan saya percaya mereka dapat mengendalikan kes ini,” kata Hannah ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Remaja Komanwel di KBS pada Selasa.

Terdahulu, BAM telah membuat persetujuan bersama Misbun untuk tidak menyambung kontrak jurulatih itu berikutan prestasi buruk skuad badminton negara di Kejohanan Remaja Asia.

Namun begitu, kenyataan tersebut disangkal oleh Misbun dan menegaskan beliau diberhentikan tanpa pembelaan dan sebarang persetujuan bersama.

Dalam pada itu, bercakap mengenai temasya Sukan Remaja Komanwel 2023, Hannah mengharapkan atlet-atlet yang dihantar dapat mengambil peluang di atas pendedahan diperolehi melalui sukan-sukan asia.

“MSN akan terus memberikan sokongan kepada atlet junior kerana mereka adalah pelapis untuk atlet-atlet negara,” tambahnya.

ARTIKEL BERKAITAN : Misbun dan BAM perlu bertemu selesaikan pertikaian yang timbul

Sementara itu, Ketua Kontinjen, Ang Li Peng yakin atlet-atletnya akan mempamerkan aksi terbaik dalam temasya sukan itu selain tidak menetapkan sebarang sasaran bagi mengelakkan tekanan berlaku kepada mereka.

Ang Li Peng percaya atlet dapat lakukan terbaik di Sukan Remaja Komanwel 2023.

Temasya Sukan Remaja Komanwel ke-7 2023 akan diadakan di Trinidad dan Tobago pada 4-11 Ogos ini. Menyaksikan Malaysia menghantar seramak 14 atlet berusia 14 hingga 18 tahun melibatkan sukan renang, olahraga dan berbasikal.