MENTERI Belia dan Sukan Hannah Yeoh mahu melihat lebih ramai atlet para wanita mengambil bahagian dalam pelbagai jenis acara sukan.

Menurut Hannah, pihaknya bersama Majlis Sukan Negara (MSN) akan terus memperkasakan program yang sedia ada untuk pencarian bakat-bakat baharu.

“Selepas ini kita mesti lebih banyak membuat aktiviti untuk mencungkit bakat-bakat baharu atlet para dan mengenalpasti potensi mereka dalam pelbagai jenis sukan.

“Apa yang penting nak lihat lebih ramai atlet para wanita kerana jelas sekali nampak kekurangan mereka (atlet wanita) dalam semua jenis sukan,” jelasnya kepada FLASH SUKAN ditemui di Perkampungan Atlet Sukan Palimpik Paris pada Khamis.

Hannah (tengah) membuat lawatan ke Perkampungan Atlet Sukan Paralimpik, Paris.

Dalam pada itu, Hannah berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan oleh Institut Sukan Negara (ISN) di Perkampungan Atlet.

“Perkhidmatan dan tenaga kerja yang diuruskan oleh ISN telah melancarkan segala urusan atlet-atlet di sini.

“Ada yang atlet sudah menyelesaikan tugasan mereka dan ada lagi yang masih menunggu giliran.

“Dan saya juga berkesempatan mencuba makanan halal yang disediakan di sini dan saya berpuas hati. Ketika Sukan Olimpik sebelum ini saya tidak sempat melawat di sini,” jelasnya.

Hannah turut merasa makan yang disediakan di Dewan Makan Perkampungan Atlet Sukan Paralimpik, Paris.

Seramai 30 orang atlet dalam lapan acara beraksi pada Sukan Paralimpik yang sedang berlangsung dengan menyaksikan setakat ini tiga pingat telah berjaya dicapai iaitu pingat emas menerusi badminton (Cheak Liek Hou), perak (Muhammad Ziyad Zolkefli) dan gangsa daripada Eddy Bernard, acara olahraga.