INSTITUSI Pengajian Tinggi (IPT) dilihat sebagai medium terbaik buat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) merancakkan program belia yang inklusif malah tidak terhad kepada warga kampus.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, golongan muda di kampus diyakini memiliki daya kreatif untuk menganjurkan program dan aktiviti Rakan Muda, mengikut acuan tersendiri berteraskan 10 Gaya Hidup Rakan Muda.

Wakil IPT yang hadir ke KBS menerima dana pelaksanaan Program dan Aktiviti di bawah SRM IPT. | FOTO KBS

Justeru, sebagai permulaan sebanyak 16 IPT dipilih sebagai Sekretariat Rakan Muda IPT (SRM IPT).

“Bukan semua belia berada di IPT, jadi apabila SRM IPT melaksanakan program di mana-mana , mereka mungkin boleh pertimbang, melibatkan belia di kawasan sekitarnya,” kata Hannah, selepas Majlis Penyerahan Dana SRM IPT dikementeriannya, di Putrajaya.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berucap pada majlis penyerahan dana pelaksanaan Program dan Aktiviti di bawah SRM IPT. | FOTO KBS

Menurut Hannah, bagi fasa pertama, KBS meluluskan 16 permohonan berjumlah RM280,000, manakala bagi fasa kedua pula, pihaknya sedang menilai 59 permohonan berjumlah RM1.18 juta daripada 23 SRM IPT.