PELETAKAN jawatan Kim Pan-gon sebagai pengendali Harimau Malaya mencetuskan rasa tidak senang Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang berasa rasa sedih di atas pengumuman dalam satu sidang media hari ini.

Meskipun mengetahui perkara itu sehari lebih awal, selepas Pan-gon sendiri memberitahu hasratnya.

“Saya menerima berita peletakan jawatan beliau dengan rasa sedih. Saya bertanya sama ada ini keputusan muktamad tanpa boleh membuat rayuan atau pertimbangan semula, beliau memberitahu keputusan sudah dibuat apa yang tinggal hanya kenangan manis untuk Malaysia,” katanya, dalam sidang media Majlis Pengumuman Ganjaran Sukan Olimpik Paris 2024.

Kim Pan-Gon letak jawatan Ketua jurulatih kebangsaan.

Katanya, Pan-gon bagaimanapun bersedia menimbang untuk membantu perkembangan sukan ini dari sudut lain.

“Bagaimanapun, sebagai menteri saya lihat beliau memang mempunyai peranan dalam meningkatkan industri bola sepak tanah air. Saya lihat keyakinan rakyat Malaysia semakin bertambah terhadap apa usaha beliau dan pasukan sejak dia memulakan tugas pada 2022 hingga sekarang.

“Kita lihat stadium sentiasa penuh dan ramai bincang prestasi skuad kebangsaan terutama dari segi peningkatan ranking,” katanya.

Kim Pan-gon berjaya mengembalikan bola sepak Malaysia sebagai satu fenomena. 

Terdahulu, Pan-gon mengesahkan dia meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan berkuatkuasa serta-merta dalam satu sidang media khas di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

Pan-gon menyatakan keputusan itu diambil atas faktor komitmen peribadi dan FAM melantik pembantu jurulatih, Pau Marti Vicente sebagai pemangku ketua jurulatih dibantu seorang lagi pembantu jurulatih, E Elavarasan.

Mengulas lanjut peletakan jawatannya itu, Pan-gon memaklumkan dia sudah mula memikirkan keputusan drastik itu selepas kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 berakhir selepas perlawanan menentang Taiwan, bulan lalu.