MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, mengucapkan tahniah kepada pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia, atas kejayaannya meraih gelaran kedua musim ini dengan menjuarai Terbuka Australia 2024 semalam.
“Tahniah kepada Lee Zii Jia atas kejayaan memenangi Terbuka Australia 2024. Kekalkan momentum! #RoadtoGold,” katanya melalui laman Facebooknya pada Isnin.
Pada perlawanan akhir di Quaycentre, Sydney Olympic Park, bekas juara All England itu berjaya menewaskan pemain Jepun, Kodai Naraoka, dalam tiga set yang sengit, 21-19, 11-21, dan 21-18.
Ini merupakan gelaran kedua Zii Jia tahun ini selepas memenangi Terbuka Thailand 2024.
Zii Jia juga telah mengesahkan penyertaannya di Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.
Selain beliau, perseorangan wanita Goh Jin Wei serta tiga pasangan beregu lain, Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Pearly Tan-M. Thinaah (beregu wanita), dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran), turut layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.