MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan sepak takraw Malaysia di atas kejayaan menjadi juara dunia pada kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 pada Rabu malam.

Skuad negara menjuarai acara double dan regu divisyen premier kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 dengan mengalahkan Thailand 2-0 pada aksi final di Stadium Titiwangsa.

Menurut beliau, kejayaan skuad sepak takraw negara untuk menjadi juara dunia merupakan kemenangan yang cukup istimewa.

Skuad double negara bagaikan ‘naik minyak’ ajar Thailand di final.

“Syabas dan tahniah kepada pasukan sepak takraw negara. Kemenangan yang cukup istimewa!” menurut Yeoh dalam hantaran melalui Facebook beliau.

Beliau turut mengatakan bahawa kementeriannya turut memperuntukkan Geran Padanan Sukan sebanyak RM1 juta bagi penganjuran kejohanan berkenaan.

Geran Padanan Sukan merupakan satu inisiatif oleh Kementerian Belia dan Sukan untuk memberikan bantuan berbentuk geran padanan bagi penganjuran program sukan Persatuan.

KBS memperuntukkan Geran Padanan Sukan kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM)

Kaedah pemberian peruntukan Geran Padanan Sukan adalah secara tuntutan bayaran balik (reimbursement) selepas program selesai dilaksanakan iaitu 50 peratus daripada kos program atau maksimum sehingga RM 1 juta bagi satu penganjuran program.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli turut merakamkan ucapan tahniah di atas kejayaan pasukan sepak takraw negara, dengan menambah bahawa kemenangan terbabit merupakan hasil titik peluh seluruh pasukan dan persatuan sepak takraw negara sejak hari pertama.

Malaysia akan memulakan saingan bagi acara regu berpasukan hari ini dengan bertemu Brunei pada jam 3 petang ini sebelum menamatkan aksi kumpulan C dengan bertemu Jepun pada esok hari.