MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ada pesanan khas buat kontinjen negara yang sedang berjuang di Sukan SEA 2023 Kemboja.
Memetik dari Facebooknya, Hannah mahu setiap atlet melupakan perbezaan antara kaum sebaliknya bersatu dalam meraih sasaran pingat dan kejayaan di temasya dwitahunan itu
“Kepada atlet-atlet kontinjen Malaysia, bila kita pakai jersi nama Malaysia ini, lupakan perbezaan antara kita. Inilah masanya untuk anda menyinar dan menyerlah #DemiMalaysia.
“Bangkit dan berjuanglah dalam sukan yang anda cintai! Anda kebanggaan kami!
“Bila kita pakai jersi nama Malaysia ini, kita lupakan perbezaan antara kita. Bila pakai jersi, kita satu pasukan.
“Kita mewakili negara kita,” katanya.
Di Phnom Penh, kontinjen negara akan mengambil bahagian dalam 33 daripada 36 jenis sukan meliputi 340 ataupun 58.42 peratus daripada keseluruhan 582 acara dipertandingkan.
Terdahulu, Hannah menyasarkan kontinjen negara meraih 40 pingat emas, 37 perak dan 64 gangsa pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja, yang dijadual dibuka secara rasmi, malam ini.