MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memberi jaminan ‘ketegangan’ antara Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan dapat diselesaikan secepat mungkin.

Hannah berkata, beliau akan mewujudkan satu sistem harmoni dalam ekosistem sukan kerana kedua-dua badan itu cukup penting dalam industri sukan tanah air.

“MOM penting untuk pembangunan sukan di Malaysia dan PSJ memainkan peranan pentadbir untuk Akta Pembangunan Sukan.

“Saya percaya bahawa selama setahun ini saya telah melaksanakan secara terbaik untuk mewujudkan sistem harmoni dan melibatkan semua pihak berkepentingan dalam membuat keputusan bersama dan saya tidak mahu salah faham ini menjejaskan keharmonian yang telah wujud,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Pagi tadi, PJS mengeluarkan kenyataan kesal terhadap kenyataan-kenyataan susulan yang telah dikeluarkan kepada MOM berikutan isu salah faham yang telah terjadi.

“Saya telah meminta Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan untuk mempengerusikan satu perbincangan dalam masa terdekat segera bagi memastikan kita selesaikan ini secara aman kerana tidak dapat dinafikan kedua-dua badan ini amat penting,” katanya lagi.

Isu PJS: KBS atur pertemuan dengan MOM

ARTIKEL BERKAITAN : Isu PJS: KBS atur pertemuan dengan MOM

Semalam, MOM menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Mohd Nazifuddin Najib mendesak Hannah campur tangan dan menangani Suhardi Alias.

Suhardi dilihat berterusan mengugut untuk mengambil tindakan terhadap MOM di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997.