WALAUPUN pasukan bola sepak Harimau Malaya telah tersingkir awal dari kejohanan Piala Asia 2023, namun kemeriahan tetap diteruskan oleh penyokong setia Malaysia yang berada di Doha, Qatar.

Satu inisiatif dilakukan peminat Malaysia dengan mengatur aktiviti perlawanan persahabatan bola sepak penyokong antarabangsa sempena temasya yang berlangsung empat tahun sekali itu.

 

Aksi persahabatan itu disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang hadir mengejut dan Pengarah Urusan AEON BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed.

Dalam perlawanan yang diadakan di Doha Sports Park, Qatar petang Isnin tadi, Ekor XII Harimau Malaya menang 4-3 ke atas Hong Kong Dragon.

Perlawanan ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan kedua penyokong yang turut sama-sama berada di Qatar menyokong pasukan negara masing-masing.

Khamis ini, skuad bimbingan Kim Pan-gon akan bertemu Korea Selatan saingan terakhir Kumpulan E di Stadium Al Janoub.