SAMBIL bersemangat menyatakan sokongan padu terhadap aksi atlet di Temasya Sukan Asia ke-19 Hangzhou 2022, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh telah mengadakan lawatan ke Perkampungan Atlet pada Ahad.
Hannah dan delegasi telah mendapat sambutan hangat oleh Chef de Mission, Datuk (Dr.) Chong Kim Fatt dan dua timbalannya, Datuk Mohamad Iruan Zulkefli, Prof. Madya Dr Farrah Hani Imran dan ahli Sekretariat sejurus tiba pada jam 11.30 pagi.
Rombongan kemudian dibawa melawat ke pangkalan Kontinjen Malaysia yang terletak di Bangunan No. 7 di Zon 2 Selatan Perkampungan Atlet, di mana terletaknya Bilik Gerakan Urusetia dan Klinik Perubatan Dan Pusat Pemulihan.
Hannah kemudiannya pergi ke Dewan Makan, dan beliau mengambil kesempatan untuk berinteraksi dengan pasukan hoki lelaki dan wanita serta atlet tinju sebelum makan tengah hari.
Lawatan itu di akhiri dengan sambutan hari lahir mengejut pemain hoki negara, Abdul Khaliq Hamirin, yang menyambut hari lahirnya yang ke-26 hari ini.