KETIKA kabinet negara sedang kecoh dengan rombakan, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh membuat kenyataan mengejutkan di aplikasi ‘X’ apabila menyatakan harapan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mempertimbang mengekalkan posisinya sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Lega dengan kedudukannya sebagai Menteri Belia dan Sukan kekal dalam kabinet, Hannah merujuk kepada posisinya dan Norza sebagai pengerusi bersama program Road to Gold (RTG), beliau memerlukan pemimpin yang mampu memberi kerjasama erat.

“Dengan itu, saya berharap pengerusi bersama, Tan Sri Norza akan mempertimbangkan semula keputusannya untuk berundur sebagai presiden BAM pada akhir tahun ini,” kata Hannah hantaran di aplikasi ‘X’ dalam bahasa Inggeris.

Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), diminta memikirkan semula keputusan untuk melepaskan jawatan BAM pada hujung bulan ini.

“Sukan Olimpik Paris hanya beberapa bulan sahaja lagi dan badminton mempunyai wakil paling ramai dalam RTG. Kita perlu fokus dan mengurangkan gangguan ketika masa persiapan penting ini.”

Ogos lalu, Norza mengumumkan akan melepaskan jawatannya selaku presiden badan induk badminton itu pada hujung tahun ini kerana mahu fokus kepada peranannya dalam badan sukan antarabangsa.

Bermula dengan pengumumannya untuk mengundur diri selepas Sukan Olimpik Paris 2024 bagi memberi tumpuannya terhadap tugas selaku Presiden Kehormat Badminton Asia dan Ahli Lembaga Majlis Olimpik Asia (OCA), beliau juga merancang melepaskan jawatan sebagai Presiden MOM selepas Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Pada Oktober lalu, BAM mengumumkan selepas ahli majlis badan itu sebulat suara bersetuju menamakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai presiden baru mereka.

Norza pada ketika itu, berkata tarikh sebenar pelantikan Tengku Zafrul akan dibincangkan pada mesyuarat majlis yang akan datang pada bulan ini.