BEKAS PresidenPerbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Datuk Hans Isaac mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Belia Dan Sukan Hannah Yeoh di atas pelantikannya sebagai pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang baharu bagi tahun 2023/2025.
Menurut Hans, pelantikan tersebut sudah tentu merupakan tanggungjawab yang besar buatnya.
“Ini merupakan tanggungjawab nasional dan bukan tugas yang mudah lebih-lebih lagi melibatkan Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Saya mengambil cabaran ini dan bekerja dari sekarang. Dalam masa yang sama saya juga ‘aware’ dengan beberapa isu yang timbul berkaitan dengan aksi bola sepak dan juga konsert yang dianjurkan selalu menjadi topik panas peminat-peminat sukan dan hiburan tanah air.
“Stadium (SNBJ) sentiasa jadi tumpuan. Saya cuba akan selesaikan satu persatu apa yang timbul,” jelasnya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Sebelum ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan pelantikan seramai 16 orang Anggota Perbadanan yang baharu.
Pelantikan individu-individu yang terdiri daripada pelbagai sektor ini mempunyai pengalaman yang luas di dalam bidang kepakaran masing-masing dan bakal mencetuskan impak yang positif kepada pembangunan PSM sebagai hab sukan dan hiburan yang unggul.
Hannah Yeoh menyatakan bahawa melalui barisan keanggotaan baharu ini, misi beliau adalah untuk memastikan halatuju PSM dalam pengurusan fasiliti yang berdaya mampan (self-sustainable), mengamalkan tadbir urus korporat yang baik, menyediakan perkhidmatan yang efisen dan profesional kepada semua pihak serta merakyatkan fasiliti PSM untuk kegunaan orang awam dalam mempromosikan gaya hidup sihat.