PENGERUSI Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac memberi jaminan bahawa Stadium Nasional Bukit Jalil sudah bersedia untuk menerima kunjungan para penyokong skuad bola sepak kebangsaan sempena Kejohanan Pestabola Merdeka 2023 yang bermula pada Jumaat.
Malah menurutnya, penyokong Harimau Malaya juga akan merasai pengalaman baharu di stadium itu apabila ‘Home of Harimau Malaya’ itu bukan sahaja membuat pertukaran padang malah menaik taraf kemudahan lain seperti tandas, surau dan memasang karpet rumput di bilik persalinan untuk keselesaan pemain.
Hans berharap dengan naik taraf yang dilakukan di Stadium Nasional ini, ianya dapat memberikan lebih keselesaan kepada penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan bola sepak dan berharap kejayaan menjadi milik skuad kebangsaan.
“Tanggungjawab kami di PSM adalah preparation untuk padang dan keselesaan penyokong termasuk menaik taraf tandas, tempat solat dan pelbagai lagi perkara untuk berikan pengalaman yang baharu kepada para penyokong,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran filem Harimau Malaya: Untold Story di Petaling Jaya.
Hans juga menyatakan pasukan Harimau Malaya akan menjadi pasukan pertama merasmikan padang baharu dengan skuad kendalian Kim Pan Gon bakal mendapat satu slot untuk menguji padang itu menjelang aksi berdepan India pada Jumaat.
“Kami teruja untuk pasukan Malaysia berdepan India, Jumaat dan skuad Harimau Malaya akan diberikan satu sesi lebih awal untuk mencuba padang baharu ini,” jelasnya.
Majlis perasmian padang baharu itu akan disempurnakan oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Khamis sebagai tanda penghargaan kepada inisiatif yang dilakukan olehnya.
Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum ini ditutup sejak Mac dari sebarang aktiviti bola sepak selepas menerima tajaan dari Tunku Mahkota Johor untuk menukar padang kepada jenis Zeon Zoysia yang lebih berdaya tahan dan sesuai untuk permainan bola sepak moden yang digunakan oleh Harimau Malaya.