HANYA seorang petinju dilepaskan ke temasya Sukan Asia 2022, tidak cukup buat Persekutuan Tinju Malaysia (PTM) yang mahu sekurang-kurangnya, seorang lagi petinju dibawa ke Hangzhou, China, September depan.

Presiden PTM, Datuk Iruan Zulkefli berkata, amat penting buat persatuan sukan itu menghantar lebih dari seorang petinju, bagi membolehkan atlet negara menjalani latihan bersama.

“Kita akur dengan syarat ditetapkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), jadi kita hanya akan menghantar menghantar atlet yang rankingnya terbaik untuk Asia dan kita terima dengan baik, ia menjadi cabaran kepada persatuan dan juga atlet.

Muhammad Abdul Qaiyum Ariffin akan beraksi ke Sukan Asia 2022, di Hangzhou, China, di bawah kategori B1. Pix Agensi

 

“Tapi kita masih mengharapkan dua atlet kita ke Sukan Asia bagi pergi mengiringi Qaiyum. Kita ada Ridzuan (Muhammad Ridzuan Johari), Aswan (Mohamed Aswan Che Mat) dan Delon (Daeloniel Mcdelon Bong),” kata Iruan.

Menurut Iruan, sebelum ini, pihaknya mengemukakan empat nama kepada MOM dan MSN untuk disenaraikan ke Sukan Asia 2022, di Hangzhou, China yang dijangka bermula 23 September hingga 8 Ogos depan.

Beliau berkata, empat nama dibawa kepada jawatankuasa pemilihan atlet ke Sukan Asia Gangzhou, Muhammad Abdul Qaiyum Ariffin, Muhammad Ridzuan Johari, Mohamed Aswan Che Azmi dan Daeloniel Mcdelon Bong, namun hanya Qaiyum melepasi syarat kelayakan untuk beraksi di Sukan Asia nanti.

Presiden PTM, Datuk Iruan Zulkefli mahu merayu untuk membawa seorang lagi atlet ke Sukan Asia 2022, di Hangzhou, China.

 

“Qaiyum berusia 21 tahun layak ke Sukan Asia di bawah kategori B1, adalah pemenang pingat gangsa di Sukan Sea lalu, seorang petinju bersemangat tinggi.

“Dia tewas di separuh akhir kepada petinju Filipina yang memenangi pingat gangsa di Sukan Olimpik, jadi dia ada peluanglah,” kata Iruan.

Pada temasya sukan Sea Kemboja Mei lalu, skuad tinju negara membawa pulang tiga gangsa, menerusi Qaiyum dalam kategori Flyweight (51kg), Muhd Ridzuan Johari dalam Lightweight (60kg) dan Indran Rama Khrisnan dalam kategori Cruseweight (86kg).

“Aswan ni berumur 25 tahun dan ada pengalaman beraksi di Sukan Sea ketiga dan pernah memenangi pingat gangsa. Malah dia juga berada di ranking ketujuh Asia, jadi jika dia disenaraikan, kita akan hantar atlet-atlet kita menjalani latihan di luar negara.

“Dalam tempoh sebelum Sukan Asia, kita juga akan hantar mereka mengikuti kejohanan di luar negara. Untuk menjanjikan pingat emas, kita perlu harapkan keajaiban tapi kita nak atlet kita di peringkat Asia ni, sekurang-kurangnya masuk ke separuh akhir.”