SATU EMAS! Hanya sebutir pingat emas menjadi fokus Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Sukan Olimpik Paris 2024, yang menjadi sasaran mutlak kepada kontinjen negara.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, sasaran itu bersesuaian dengan matlamat penubuhan Jawatankuasa Road to Gold (RTG) yang mahu melihat kontinjen negara membawa pulang pingat emas pertama dari Temasya Olimpik Paris nanti.

Hannah yang juga Pengerusi Bersama RTG sekali lagi mengulangi bahawa impian pingat emas itu lebih realistik untuk diraih menerusi sukan berbasikal trek dan badminton, namun tidak menolak kemungkinan kejutan mampu dilakukan atlet dari sukan lain.

KBS sasar satu pingat emas di Sukan Olimpik Paris, tanpa meletakkan bilangan perak dan gangsa.

“Saya sudah jawab banyak kali, sasaran kita untuk Sukan Olimpik kali adalah satu pingat emas, itu adalah sasaran sejak penubuhan Jawatankuasa Road To Gold (RTG).

“Jawatankuasa RTG seperti yang kita telah jawab banyak kali adalah untuk dua kitaran Sukan Olimpik iaitu untuk Paris 2024 dan Los Angeles 2028, sebab itu kita membuat persiapan sekarang untuk membantu, bantuan tambahan… untuk atlet-atlet Fast Track dalam skuasy dan juga terjun sebagai persiapan, bukan sahaja untuk Paris (2024) tetapi Los Angeles (2028) sudah bermula,” kata Hannah, yang enggan mengulas mengenai sasaran kilauan pingat lain selain emas.

Menurutnya, bagi semua atlet yang sudah layak, pastinya mempunyai peluang merraih pingat termasuk emas: “Bukan kita tak nak gangsa, bukan kita tak nak pingat perak tetapi hasrat negara adalah untuk kita melihat Malaysia dapat satu pingat emas, oleh sebab itu, sasaran kita satu pingat emas.”

Beliau ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Penajaan antara Bubble O2 dan Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil.

Pada majlis itu, Hannah menyaksikan kedua-dua pihak menandatangani perjanjian penajaan yang dimetrai antara Pengarah Urusan Bubbles O2, Ain Azizah Arifin dengan Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub.

Datuk Azizulhasni Awang turut melaungkan sasaran peribadi, memburu emas di Kota Paris.

Turut menyaksikan, Timbalan ketua Setiausaha (Strategik) KBS, Ramona Mohd Razali dan Pengerusi Eksekutif Bubbles O2, Arifin Marzuki.

Sebelum ini, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengumumkan sasaran pihaknya membawa pulang satu pingat emas menerusi jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang.

Lee Zii Jia turut menetapkan sasaran emas di Paris sebelum ini, kerana tidak mahu berrgantung nasib kepada temasa 2028 yang belum pasti.

Sementara itu, jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia pula menetapkan sasaran peribadinya untuk menjuarai Sukan Olimpik 2024 selepas disahkan layak ke temasya berkenaan pada 10 Mei lalu.

Pencapaian terbaik Kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik hadir pada edisi 2016 di Rio, Brazil apabila membawa pulang empat pingat perak serta satu pingat gangsa menerusi acara badminton, terjun dan berbasikal trek.