HANYA seorang gimnas negara akan beraksi di temasya Sukan Asia 2022, di Hangzhou, China September depan, selepas Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menetapkan kriteria ketat, hanya kategori A diberi keutamaan dan kategori B diberi pertimbangan.

Timbalan Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Kaur Git Kaur berkata, pihaknya akur dengan pendirian MOM itu, namun tetap berusaha membuat rayuan supaya seorang lagi gimnas artistik wanita dan seorang wakil gimnastik berirama (gimrama), diberi peluang beraksi di temasya empat tahun sekali itu.

“Kita akur dengan syarat yang ditetapkan MOM, iaitu atlet perlu berada dalam kelompok empat dan lapan terbaik pada kejohanan di peringkat Asia.

“Tapi kita akan meyakinkan mereka (MOM) mengenai betapa pentingnya ada sekurang-kurangnya satu wakil dari gimnastik artistik lelaki, wanita dan gimrama.

Pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Atlet ke Temasya Sukan Asia ke-19 Hangzhou 2022 di Wisma MOM semalam, Git Kaur mengesahkan hanya Muhammad Sharul Aimy layak dan terpilih beraksi ke temasya sebenua di Hangzhou, selepas menamatkan saingan Kejohanan Gimnastik (Artistik) Asia di Singapura minggu lalu, di kedudukan keenam acara melombol.

Jurulatih gimnastik artistik lelaki, Ng Shu Wai berkata, Sharul Aimy menjadi satu-satunya gimnas negara layak ke final dalam acara melombol di kejohanan terbabit.

Jurulatih gimnastik artistik negara, Ng Shu Wai lega Sharul Aimy melepasi syarat MOM untuk beraksi di Sukan Asia.

“MOM sudah menetapkan syarat, jadi kita ikut kerana kami di persatuan, paling penting ada wakil beraksi dan kita akan usahakan untuk menyumbang pingat kepada negara.

“Di kejohanan Asia di Singapura, Sharul Aimy menamatkan acara final melombol di kedudukan keenam dan meraih mata yang agak hampir dengan gimnas di tangga kelima, empat dan pemenang pingat gangsa. Jadi, dia layak ke Sukan Asia dalam kategori B1 yang hanya diberi kepada atlet atau pasukan yang menamatkan saingan di peringkat Asia di kedudukan enam terbaik.

Beliau berkata, hasil kejohanan Asia di Singapura itu, seorang lagi gimnas negara Luqman Al Hafiz Zulfa layak Kejohanan Dunia Gimnastik Artistik yang akan berlangsung di Antwerp, Belgium.

Muhammad Sharul Aimy layak ke Sukan Asia Hangzhou, dalam acara melombol.

“Bagi saya, Sharul Aimy ada peluang baik memenangi pingat di Sukan Asia nanti kerana kebanyakan gimnas terbaik akan beraksi di Kejohanan Dunia kerana tarikh penganjuran Sukan Asia dan Kejohanan Dunia, bertembung.

“Saya yakin, negara kuasa besar akan menghantar barisan kedua gimnas masing-masing ke Sukan Asia, kerana Kejohanan Dunia menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris,” kata Shu Wai, yang turut mengesahkan bahawa Sharul Aimy diulit kecederaan hamstring kanan.

Untuk rekod, Sukan Asia 2022 di Hangzhou akan berlangsung dasri 23 September hingga 8 Oktober, manakala Kejohanan Dunia Gimnastik Artistik pula pada 30 September hingga 8 Oktober.

Bersandarkan situasi itu juga, MGF mahu merayu kepada MOM agar memberi peluang kepada seorang gimnas wanita, Rachel Yeoh mewakili negara ke temasya itu.

MGF berharap rayuan mereka untuk menyenaraikan Rachel Yeoh ke Sukan Asia Hangzhou dipertimbangkan.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MGF, Soo Seok Foong mengakui, prestasi gimnas terbabit tidak mencapai tahap yang diingini ketika ini, namun tidak mahu memudarkan semangat Rachel yang sudah meningkatkan darjah kesukaran dalam acara palang bertingkat.

“Kita harap Rachel dapat ke Sukan Asia kerana darjah kesukaran yang digunakannya dalam palang bertingkat ketika ini, sudah dinaikkan Cuma prestasinya sahaja belum mencapai apa yang kita harapkan.

“Di kejohanan Asia di Singapura minggu lalu, namanya diletakkan sebagai simpanan ke final, kami akan terus berbincang dengan MOM,” kata Seok Foong.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MGF, Soo Seok Foong akan terus membuat rayuan sebelum tarikh akhir penamaan atlet ke Sukan Asia, 15 Julai.

Beliau berkata, pihaknya juga akan membuat rayuan bagi membolehkan MOM membuat pertimbangan sewajarnya terhadap peyenaraian Ng Joe Ee ke temasya itu,

“Memang pada kejohanan Asia, prestasinya tidak baik, tapi kalau boleh sekurang-kurangnya ada seorang wakil dari gimrama juga.

“Joe Ee sebelum ini menjadi satu-satunya atlet negara menyumbang lebih dari satu pingat emas di Sukan Komanwel, Birmingham.”