HANYA peroleh separuh dari sasaran emas, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) tidak puas hati dengan prestasi atlet.

Presiden KOM Datuk Seri Dr Shahidan Kassim akhirnya meluahkan rasa tidak puas hati itu setelah kem olahraga negara hanya membawa pulang lima daripada 10 emas yang disasarkan di temasya Sukan SEA Kemboja.

Shahidan berkata, beliau mengharapkan kem olahraga negara dapat membawa pulang lebih banyak pingat emas berdasarkan perkiraan dan prestasi terkini atlet di temasya dwitahunan itu.

“Mana nak puas hati… kalau dapat 12 emas barulah saya puas hati namun jika ikut perkiraan lima tambah tiga nak dekat 10 emas sekali gus hampir mencapai sasaran.

“Namun, saya bersyukur kerana usaha gigih yang dilakukan dalam jangka masa pendek akhirnya dapat kejayaan positif.

“Jika tidak dapat gangsa mungkin saya rasa kurang menyeronokkan tapi bila dapat pingat itu membuktikan pededahan pertama di Sukan SEA kepada atlet muda adalah berjaya,” katanya.

Umar Osman bukan hanya meraih emas malah memecah rekod kebangsaan acara 400m lelaki, pada Sukan SEA pertamanya di Kemboja.

Shereen meneruskan kecemerlangannya musim ini dengan memenangi pingat emas Sukan SEA, mengikut jejak ibu dan bapanya.

Pada temasya kali ini, kem olahraga negara mengakhiri saingan dengan lima emas, tiga perak dan 12 gangsa dengan dua rekod kebangsaan berjaya dicipta menerusi acara 400 meter (m) lelaki menerusi Umar Osman dan kuartet 4x100m wanita.

Temasya dwitahunan di Hanoi, Vietnam, tahun lalu menyaksikan atlet olahraga negara membawa pulang lima emas, tiga perak dan lapan gangsa.

Atlet negara kekurangan pendedahan antarabangsa, dan ia terbukti menerusi keputusan diperoleh di temasya Sukan SEA Kemboja.

 

Pada temasya Sukan SEA Kemboja, pingat emas olahraga disumbangkan Umar dalam acara 400m, Shereen Samson Vallabouy (400m wanita), Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Grace Wong (baling tukul besi) dan Andre Anura Anuar (lompat kijang).

Sementara itu, Shahidan berkata, peningkatan jumlah pungutan gangsa berbanding tahun lalu membuktikan keputusan KOM menghantar pelapis di Kemboja adalah tepat.

“Pada masa akan datang mereka akan menggantikan atlet senior yang sudah melepasi had umur sekali gus boleh mencipta keputusan positif untuk negara,”katanya.